Ahad, 24 Disember 2017 | 7:01pm

PNS sasar 9 usahawan BIT peroleh lesen francaisor

AMPANG JAYA: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menjangkakan lima lagi usahawan di bawah program Transformasi dalam Perniagaan (BIT) akan mendapat lesen sebagai francaisor menjelang 2018.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shabudin, berkata setakat ini empat jenama sudah memperoleh lesen francais iaitu Putu Bambu World, Dpizz Pizza, D'Apple dan Otak-Otak Johor.

Beliau berkata, program BIT adalah langkah strategik dalam usaha mengembangkan perniagaan berpotensi, sekali gus membantu usahawan membina jenama dalam dunia perniagaan.

"Setakat ini, ada lima jenama sudah menghantar permohonan (untuk menjadi francais) dan kita jangka tahun depan ada sembilan francaisor di bawah BIT termasuk empat yang sudah mendapat lesen tahun ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran perniagaan francais MD Putu Bambu World di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Basaruddin Sadali dan Pengarah Urusan MD Foodstuf Karim Atan.

Majlis itu menyaksikan francaisor rangkaian kuih putu bambu itu melebarkan sayap perniagaan kepada 40 rakan niaga atau francaisi baharu membabitkan usahawan dari seluruh negara.

Mengulas mengenai unjuran industri francais tahun depan, Syed Kamarulzaman berkata, separuh kedua tahun 2017 menunjukkan peningkatan dari segi jualan dan momentum itu dijangka terus positif sehingga suku pertama tahun depan.

"Walaupun tahun ini ekonomi agak sukar terutama bagi industri makanan dan minuman (F&B), ia berjaya merekodkan peningkatan jualan pada suku ketiga dan keempat.

"Saya rasa, jika kita mampu bertahan tahun ni, untuk suku pertama tahun depan tiada masalah (catat pertumbuhan), janji kita mampu bertahan," katanya.

Berita Harian X