Sabtu, 25 November 2017 | 3:59pm
PENGARAH Urusan TNB ILSAS, Datuk Ir. Abdul Aziz Jaafar (kanan) menerima pensijilan akreditasi City & Guilds daripada Pengarah Eksekutif City & Guilds, Paul Lewis (kiri) disaksikan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman (dua kanan) dan Ketua Pegawai Pengurusan Pelaburan TNB, Nazmi Othman (dua kiri) di Putrajaya baru-baru ini.
PENGARAH Urusan TNB ILSAS, Datuk Ir. Abdul Aziz Jaafar (kanan) menerima pensijilan akreditasi City & Guilds daripada Pengarah Eksekutif City & Guilds, Paul Lewis (kiri) disaksikan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman (dua kanan) dan Ketua Pegawai Pengurusan Pelaburan TNB, Nazmi Othman (dua kiri) di Putrajaya baru-baru ini.

Program ILSAS terima akreditasi City & Guilds

KUALA LUMPUR: City & Guilds memberikan akreditasi kepada sembilan program latihan teknikal anjuran TNB Integrated Learning Solution (ILSAS).

Ini menjadikan ILSAS sebagai pusat latihan terbesar pertama negara yang memperoleh akreditasi dari badan pentauliahan pendidikan kemahiran antarabangsa itu.

Pengiktirafan sebagai City and Guilds Approved Centre itu membolehkan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) terbabit menganugerahkan sijil City & Guilds kepada peserta yang lulus ujian penilaian akhir untuk program teknikal merangkumi bidang penjanaan, penghantaran dan pembahagian.

"Akreditasi ini adalah pengiktirafan antarabangsa yang penting bagi membolehkan latihan dan kursus ILSAS menjadi lebih dikenali, seterusnya menembusi pasaran global dan bersaing di peringkat dunia," kata Pengarah Urusan TNB ILSAS, Datuk Ir Abdul Aziz Jaafar.

Akreditasi City & Guilds menilai program anjuran ILSAS berdasarkan penanda aras ditetapkan bagi memastikan program berkenaan memenuhi standard atau piawai akreditasi City & Guilds.

Akreditasi City & Guilds hanya dianugerahkan kepada program berkualiti tinggi, justeru ini membuktikan komitmen ILSAS terhadap kecemerlangan dan kesediaan untuk bersaing di peringkat global.

City & Guilds ditubuhkan sejak tahun 1878 di United Kingdom dan menjadi peneraju global dalam pendidikan kemahiran.

Badan itu membangunkan program dan teknologi pembelajaran, pensijilan dan penilaian untuk kolej, penyedia latihan dan kerajaan yang meliputi 26 industri, melalui 10,000 pusat latihan di seluruh dunia.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1976, ILSAS memberikan latihan kepada lebih 500,000 peserta termasuk dari luar negara antaranya Indonesia, Singapura, Kemboja, Filipina, Brunei, Vietnam, Timor Leste, Pakistan, Mauritius, Nepal, Uganda, Sri Lanka dan Sudan.

Berita Harian X