Isnin, 30 Oktober 2017 | 10:25pm
PENGUNJUNG yang datang memilih buku yang disediakan di Kafe di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin
PEMILIK Hedwig Books & Cafe, Nur Raiha Hanafi, 47, (kanan) bersama suaminya, Mohd Hafiz Kamaruddin, 28, menunjukkan antara makanan yang disediakan di kedainya ketika ditemui di Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin
PEMILIK Hedwig Books & Cafe, Nur Raiha Hanafi, 47, memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedainya ketika ditemui di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin
PEMILIK Hedwig Books & Cafe, Nur Raiha Hanafi, 47, memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedainya di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

Selami dunia Harry Potter di Hedwig Books & Cafe

KOTA BHARU: Melangkah masuk ke Hedwig Books & Cafe, suasana seolah-olah berada dalam filem Harry Potter apabila dekorasinya diubah suai menjadi sebuah pustaka mini sama seperti cerita rekaan J K Rowling itu.

Sebaik menjejaki tangga untuk ke kafe yang terletak di tingkat satu dekat Kubang Kerian, di sini, pengunjung disajikan dengan lukisan logo Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw dan Slytherin, sekali gus membuatkan sesiapa sahaja teruja berada di dalam premis itu.

Deretan lebih 1,000 buku novel yang tersusun rapi di rak, terutama koleksi Harry Potter selain memiliki ruangan rehat yang unik, jubah Gryffindor yang dipakai Harry Potter bersama tongkat sakti serta rumah api menyebabkan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar di setiap sudut di premis itu.

Biarpun baru beroperasi Sabtu minggu lalu, Hedwig Books & Cafe sudah sesak dikunjungi pelanggan, terutama remaja dan peminat Harry Potter yang tertarik dengan keunikan dimiliki kafe berkenaan.

Suasana di kafe itu begitu santai tanpa gangguan luar dengan gelagat pengunjung yang sedang membaca buku sambil menikmati hidangan, bermain 'puzzle' dan ada yang sibuk bergambar.


RUANG keadaan yang selesa disediakan di Kafe di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

PEMILIK Hedwig Books & Cafe, Nur Raiha Hanafi, 47, memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedainya ketika ditemui di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

Hidangan ringan yang disediakan seperti pelbagai jenis kek, kek cawan, sandwich dan spageti juga bertepatan dengan konsep santai Books & Cafe itu.

Ternyata, impian Nur Raiha Hanafi, 47, iaitu graduan dari San Diego State Universiti, California dalam bidang Ekonomi untuk membuka sebuah kafe yang dilengkapi pustaka mini akhirnya menjadi kenyataan selepas 24 tahun memasang angan-angan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, idea untuk menghasilkan kafe terbabit mula tercetus sejak 2003 ketika belajar di California apabila melihat sebuah kafe di negara terbabit menyediakan pustaka mini.

Bermula detik itu, Nur Raiha memasang impian suatu hari nanti akan membuka sebuah kafe seperti diidamkan dan akhirnya ia menjadi kenyataan hari ini.

"Pembukaan Books & Cafe ini adalah idea saya manakala konsep Harry Potter pula disebabkan anak sulung saya yang terlalu minat dengan filem berkenaan.


PEKERJA Hedwig Books & Cafe memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedai milik Raiha Hanafi di Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

PEMILIK Hedwig Books & Cafe, Nur Raiha Hanafi, 47, (kiri) bersama suaminya Mohd Hafiz Kamaruddin, 28, memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedainya di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

"Saya mahu tampilkan kelainan berbanding kafe yang ada di Malaysia supaya mampu menarik minat semua golongan dan tidak mampu ditemui di kafe lain. Akhirnya wujudlah books cafe yang berkonsepkan Harry Potter.

"Dekorasi yang diterapkan dalm kafe ini secara keseluruhannya diambil daripada babak dalam filem kegemaran itu bermula dengan pustaka dan pakaian. Malah, nama kafe Hedwig juga diambil daripada watak burung hantu dalam filem itu," katanya ketika ditemui di premisnya.

Bermodalkan RM200,000 dan dengan kekuatan enam pekerja, Nur Raiha yang sebelum ini terbabit dalam pelbagai bidang pekerjaan mengakui pada mulanya bimbang untuk membuka kafe terbabit, terutama apabila mendengar pandangan orang luar.

"Memandangkan konsep kita berbeza dengan yang lain, memang sukar untuk orang terima apabila kita menceritakan cadangan untuk membuka kafe itu, namun saya beranikan diri kerana selagi kita tidak mencuba, kita tidak akan tahu.

"Bagaimanapun, dalam tempoh seminggu kafe ini dibuka, sambutan diterima terutama dalam kalangan pelajar universiti amat menggalakkan walaupun kita tidak membuat sebarang promosi.


ANTARA makanan yang disediakan di kedai Hedwig Books & Cafe milik Nur Raiha Hanafi di Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

PENGUNJUNG yang datang menjamu hidangan sambil membaca buku yang disediakan oleh Kafe di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

"Rata-rata maklum balas yang diterima pelanggan juga berpuas hati dengan makanan yang disediakan dan dekorasi yang dihasilkan," katanya.

Katanya, selain pengunjung boleh membaca buku yang disediakan, sebahagian buku terutama novel juga boleh disewa pengunjung dengan harga serendah RM1.50 sehari.

"Setakat ini, sebanyak 1,000 pelbagai jenis buku koleksi peribadi ditempatkan di premis ini dan akan menambah 500 buku lagi dalam masa terdekat," katanya yang turut mencari maklumat dan melihat kafe di luar negara.

Sementara itu, pengunjung, B Shalini, 21, yang pertama kali berkunjung ke kafe terbabit ternyata teruja melihat dekorasi yang ditampilkan premis berkenaan.

Pelajar Tahun Tiga Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga peminat filem Harry Potter itu berhasrat menjadikan kafe berkenaan sebagai lokasi kegemaran selepas ini.

"Saya kagum dan begitu tertarik melihat dekorasi yang ditampilkan kafe ini dan ternyata kunjungan ini tidak sia-sia. Disebabkan saya peminat Harry Potter, saya tidak melepaskan peluang bergambar.

"Ini kafe Harry Potter pertama yang saya temui dan saya percaya kafe ini akan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.


PEKERJA, Nur Aisyah Kamal, 18, menunjukkan antara makanan yang disediakan di Kafe di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

INFO

  • Filem Harry Potter diadaptasi hasil penulisan J K Rowling.

  • Filem pertama Harry Potter pada 2001 bertajuk Harry Potter and the Philosopher's Stone.

  • Menerusi filem berkenaan, Harry Potter bersama dua rakannya dimasukkan ke Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry.

  • Novel Harry Potter milik Barry Cunningham dijual pada harga RM2.072 juta kepada pembaca bertuah.

  • Watak utama Harry Potter, Daniel Radcliffe.

  • PENGUNJUNG yang datang memilih buku yang disediakan di Kafe di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. - Foto Faris Zainuldin

    Lapan Filem Harry Potter ditayangkan bermula 2001 hingga 2011:

    • Harry Potter and the Philosopher's Stone (2001)
    • Harry Potter and the Chamber of Secrets (2002)
    • Harry Potter and the Prisoner of Azkaban (2004)
    • Harry Potter and the Goblet of Fire (2005)
    • Harry Potter and the Order of the Phoenix (2007)
    • Harry Potter and the Half-Blood Prince (2009)
    • Harry Potter and the Deathly Hallows - Part 1 (2010)
    • Harry Potter and the Deathly Hallows - Part 2 (2011)
    Berita Harian X