Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:52pm

TN50 pacu pertumbuhan tiga dekad

EKONOMI Malaysia mencapai kemajuan yang ketara sejak kemerdekaan, dimanifestasi melalui pertumbuhan memberangsangkan yang dipacu oleh beberapa siri pembaharuan struktur mulai tahun 1970-an.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermula pada 1971 adalah titik perubahan dalam sejarah ekonomi Malaysia.

Matlamat utama DEB adalah mewujudkan perpaduan nasional yang dicapai melalui pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula struktur masyarakat.

Pada 1991, negara memperkenalkan Wawasan 2020 bagi meneruskan perjalanan demi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 yang dibentuk mengikut acuan sendiri. Bagi mempercepat proses itu, kerajaan memperkenalkan Dasar Transformasi Negara pada 2010.

TN50 wacana kebangsaan

Pada 2016, kerajaan mengumumkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memacu negara bagi tempoh 30 tahun akan datang. TN50 berperanan sebagai wacana kebangsaan bagi mencorak hala tuju negara menerusi kanvas baharu.

TN50 yang akan meliputi tempoh tiga dekad berhasrat membentuk negara bangsa yang berwibawa dengan pemikiran unggul.

Matlamat utama TN50 adalah untuk menjadikan Malaysia 20 negara teratas di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi menjelang 2050.

TN50 adalah dirangka oleh rakyat untuk rakyat. Pendekatan bottom-up diguna pakai bagi memastikan TN50 adalah inklusif, komprehensif dan mengambil kira aspirasi daripada semua segmen masyarakat.

Dalam hal ini, kerajaan telah memulakan sesi dialog bersama golongan belia sejak awal 2017 sebelum diperluas ke segenap lapisan masyarakat.

TN50 bertujuan mempersiapkan negara bagi tempoh 30 tahun seterusnya demi menghadapi cabaran masa hadapan untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam perubahan dunia yang pantas. Cabaran itu termasuk perubahan geopolitik; peningkatan era pendigitalan dan teknologi baharu; perbandaran pesat dan perubahan iklim; serta penuaan populasi.

TN50 digubal mengguna pakai pendekatan baharu melalui pelbagai sesi libat urus seperti dialog townhall dan kaji selidik dalam talian. Sehingga kini, lebih daripada sejuta belia sudah mengemukakan kira-kira 50,000 aspirasi.

Kumpulan negara E7 yang berkembang pada kadar purata 3.8 peratus setahun dijangka memacu ekonomi dunia antara 2014 hingga 2050.

Sehubungan itu, TN50 akan menumpukan usaha untuk menggembleng kekuatan dan faedah berbanding kelebihan daya saing negara dalam menghadapi perubahan aturan dunia.

Antara langkah lain akan dilaksanakan termasuk pelaburan strategik dan aktiviti perdagangan bermanfaat daripada peralihan kuasa ekonomi dunia.

Revolusi Perindustrian 4.0

Perkembangan era pendigitalan yang terhasil daripada Revolusi Perindustrian 4.0 banyak menggantikan pekerjaan yang sebelum ini berintensif buruh.

Pada peringkat global, antara kemahiran diperlukan pada 2020 ialah penyelesaian masalah kompleks, pemikiran kritikal, kreativiti dan pengurusan insan.

Kekurangan kemahiran itu menimbulkan kebimbangan kerana kebanyakan pekerjaan yang diwujudkan dalam negara tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan separuh mahir.

Oleh yang demikian, TN50 akan merangka dasar bagi menarik pelaburan berimpak tinggi untuk mewujudkan pekerjaan moden dan memastikan kebolehpasaran pekerja melalui peningkatan kemahiran, latihan semula dan pembelajaran sepanjang hayat.

TN50 juga akan memupuk keusahawanan dan inovasi dalam kalangan generasi muda.

Malaysia adalah antara negara yang mengalami perbandaran paling pesat di Asia. Sejajar dengan perkembangan ini, peratusan penduduk bandar meningkat kepada 74.8 peratus pada 2015 (2010:71 peratus). Berdasarkan trend ini, 88 peratus penduduk Malaysia dijangka menetap di bandar menjelang 2050.

Perubahan iklim juga boleh memburukkan dan meningkatkan kekerapan banjir dan kemarau disebabkan cuaca yang melampau.

Sehubungan itu, TN50 akan memberi penekanan dalam menyediakan perumahan yang mencukupi, memastikan pembangunan mapan dan hijau serta meningkatkan kesalinghubungan di antara individu dan pekerjaan yang merangkumi pengangkutan awam yang cekap, bekerja dari rumah dan waktu kerja yang fleksibel.

Wujud bandar pintar

Demi mencapai hasrat, bandar pintar akan diwujudkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui penjanaan produktiviti menerusi ekonomi aglomerasi.

Penduduk Malaysia dijangka meningkat kepada 41.5 juta menjelang 2040 berbanding 28.6 juta pada 2010. Bagaimanapun, kadar pertumbuhan tahunan dijangka berkurang kepada 0.8 peratus pada 2040 berbanding 1.8 peratus pada 2010.

Berdasarkan perkembangan ini, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2020 apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah 7.2 peratus. Peratusan ini dijangka terus meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

Peningkatan populasi golongan tua memberi cabaran kepada kerajaan dalam membiayai skim pencen dan kos penjagaan kesihatan yang meningkat.

Oleh itu, TN50 akan menumpukan usaha membolehkan warga emas mampu menyara hidup serta menggubal dasar yang mesra masyarakat tua.

Kesimpulannya, TN50 akan menyediakan Malaysia bagi menghadapi 30 tahun akan datang. Pendekatan secara bottom-up diguna pakai dalam TN50 bagi mendapatkan input dan pandangan rakyat khususnya generasi muda serta menetapkan matlamat dan rangka kerja pelaksanaan yang jelas.

TN50 akan memacu Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas di dunia menjelang 2050 dari segi pembangunan ekonomi; kesejahteraan rakyat; kreativiti dan inovasi; serta kemajuan sains dan teknologi.

Berita Harian X