Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:00pm

Imbangan pembayaran kekal teguh

KEDUDUKAN imbangan pembayaran (BOP) dijangka terus menggalakkan, tahun ini, disokong peningkatan lebihan akaun semasa dan akaun kewangan berikutan keteguhan permintaan luar serta harga komoditi.

Bagi keseluruhan tahun, lebihan akaun semasa dijangka kekal tinggi pada RM32.3 bilion atau 2.5 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) (2016: +RM29bilion; 2.4 peratus).

Peningkatan itu disokong eksport barangan dan komoditi yang kukuh, selain didorong pertambahan baik defisit dalam akaun perkhidmatan berikutan terimaan perjalanan lebih tinggi.

Tahun ini, lebihan akaun barangan dijangka meningkat kepada RM109.1 bilion (2016: +RM101.4 bilion) sejajar perkembangan kukuh dalam perdagangan global dan harga komiditi yang lebih baik.

Akaun perkhidmatan pula dianggar mencatat defisit lebih rendah, iaitu RM18.8 bilion (2016: -RM19.1 bilion) berikutan terimaan perjalanan lebih tinggi, meskipun bayaran bersih bagi fret dan perkhidmatan lain meningkat.

Terimaan perjalanan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan perkhidmatan, mencakupi 50.7 peratus, malah diunjur meningkat 7.6 peratus kepada RM80.6 bilion (2016: 9.2 peratus; +RM75 bilion) terutama penganjuran Sukan SEA, Sukan Para ASEAN dan Formula 1 PETRONAS Malaysia Grand Prix.

Defisit akaun pengangkutan pula dijangka meningkat kepada RM24.6 bilion (2016: -RM23.5 bilion) seiring pertumbuhan perdagangan yang kukuh.

Bayaran kasar perkhidmatan

Bayaran kasar untuk perkhidmatan pengangkutan diunjur meningkat 5.5 peratus kepada RM42.5 bilion (2016: -1.5 peratus; -RM40.3 bilion) disebabkan kebergantungan berterusan kepada syarikat perkapalan asing dan kenaikan kos pengangkutan susulan caj bahan api serta fret lebih tinggi.

Di samping itu, bayaran bagi pengendalian kargo dan perkhidmatan penghantaran yang disediakan syarikat tempatan dijangka menyumbang kepada terimaan akaun pengangkutan.

Akaun perkhidmatan lain pula dianggar mencatat aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM30 bilion (2016: -RM27.1 bilion) berikutan bayaran bersih lebih tinggi untuk aktiviti pembinaan.

Selaras aktiviti berkaitan pelaburan yang berterusan, pembayaran bagi kepakaran profesional, teknikal dan perkhidmatan berkaitan perdagangan akan turut menyumbang kepada aliran keluar bersih lebih tinggi.

Bayaran pula dijangka meningkat untuk perkhidmatan insurans berikutan aktiviti perdagangan yang semakin rancak.

Berita Harian X