Jumaat, 27 Oktober 2017 | 3:40pm

Ekonomi Malaysia atasi unjuran

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.7 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2017, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan diperteguh oleh sektor luaran yang lebih baik.

Berdasarkan perkembangan ekonomi yang rancak dalam tempoh separuh pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar tahun ini dijangka terus mapan antara 5.2 dan 5.7 peratus (2016: 4.2 peratus) melepasi unjuran sebelum ini.

Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada harga semasa pula dianggar berkembang 9.1 peratus kepada RM1.3 trilion (2016: 6.2 peratus ; RM1.2 trilion) dengan pendapatan per kapita meningkat 7.7 peratus kepada RM40,713 (2016: 4.7 peratus; RM37,791).

Agregat permintaan domestik dijangka kekal berdaya tahan, terutama didorong oleh perbelanjaan sektor swasta, sementara sektor awam terus melaksanakan langkah konsolidasi.

Penggunaan swasta akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Kecenderungan untuk berbelanja akan semakin kukuh didorong oleh kestabilan pasaran buruh, pendapatan eksport lebih tinggi dan inflasi terkawal dalam persekitaran kadar faedah rendah.

Sementara itu, pelaburan swasta diunjur berkembang lebih kukuh disokong oleh perbelanjaan modal lebih tinggi terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pelaburan turut disokong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang stabil.

Dari sudut penawaran, pertumbuhan akan disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam semua sektor dengan perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Sektor perkhidmatan diunjur berkembang pada kadar lebih tinggi, dicerminkan pertumbuhan lebih kukuh kebanyakan subsektor, terutama perdagangan borong dan runcit; maklumat dan komunikasi; makanan dan minuman serta penginapan.

Industri berorientasikan eksport dijangka berkembang

Dalam sektor pembuatan pula, pertumbuhan industri berorientasikan eksport dijangka berkembang dengan signifikan berikutan permintaan semikonduktor global yang lebih tinggi.

Selain itu pertumbuhan industri berorientasikan domestik akan mengukuh berikutan peningkatan permintaan produk pengguna dan bahan berkaitan pembinaan.

Kedudukan sektor luaran Malaysia dijangka kekal berdaya tahan selaras dengan aktiviti perdagangan global yang meningkat.

Akaun semasa dianggar bertambah baik terutama disokong oleh lebihan akaun barangan yang tinggi. Pertumbuhan eksport akan didorong oleh permintaan tinggi bagi elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi.

Di samping itu, import akan terus meningkat selaras dengan aktiviti pelaburan domestik yang kukuh.

Permintaan domestik berkembang pesat

Permintaan domestik berkembang pesat sebanyak 6.7 peratus dalam tempoh separuh pertama 2017 dipacu penggunaan isi rumah berdaya tahan dan pelaburan swasta yang kukuh.

Momentum pertumbuhan dijangka terus kekal dalam tempoh separuh kedua tahun ini.

Sehubungan itu, bagi 2017 permintaan domestik dijangka berkembang 6.4 peratus (2016: 4.3 peratus).

Perbelanjaan sektor swasta diunjur mencatat pertumbuhan mapan sebanyak 7.4 peratus disokong oleh pengembangan kukuh aktiviti penggunaan dan pelaburan.

Sementara itu, perbelanjaan sektor awam dianggar berkembang 3.1 peratus (2016: 0.4 peratus) berikutan pelaburan berterusan oleh Kerajaan dalam projek berteraskan rakyat.

Selaras dengan pengukuhan aktiviti ekonomi domestik dan sektor luaran yang lebih baik, pendapatan negara pada harga semasa dijangka mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 9.1 peratus pada 2017 (2016: 6.2 peratus).

Berita Harian X