Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:45pm
PEGAWAI Eksekutif Perniagaan Nestle Ice Cream, Teo Heng Keat (kanan) dan Ketua Jualan dan Promosi Mydin Mall, Siva Prakash (tengah) pada pelancaran ais baru Mat Kool Fruity Bug di Mydin Mall USJ1.- Foto Supian Ahmad

Nestle perkenal aiskrim Mat Kool FruityBug

SUBANG JAYA: Nestle (Malaysia) Berhad memperluaskan variasi segmen aiskrim Mat Kool dengan memperkenalkan jenama Mat Kool FruityBug.

 

Aiskrim perkongsian dwi-batang berbentuk kumbang itu, menggabungkan dua perisa berlainan dalam bentuk yang unik.

 

Pegawai Eksekutif Perniagaan Aiskrim Nestle, Teo Heng Keat, berkata pemilihan bentuk kumbang sangat signifikan kerana ia mudah untuk dibahagikan kepada dua.

 

"Uniknya 'Mat Kool FruityBug', ia aiskrim dwi-batang yang pertama seumpamanya di negara ini kerana fokus kepada konsep berkongsi keriangan dan kelazatan ketika menikmati aiskrim.

"Patahkan kepada dua bahagian dan kongsikan. Malah produk ini menggunakan pewarna daripada sumber tumbuh-tumbuhan selain ramuan berkualiti tinggi", katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran produk terbaru itu di Mydin Mall USJ, di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Jualan dan Promosi Mydin Mall, Siva Prakash dan Pengurus Pemasaran Pengguna Aiskrim Nestle, Farrah Salina Norman.

 

Teo menjangkakan Mat Kool FruityBug akan mendapat sambutan menggalakkan dan percaya ia bakal menjadi 10 produk aiskrim paling laris dalam barisan jenama Mat Kool.

 

Segmen aiskrim Mat Kool yang dicipta khas untuk dinikmati seisi keluarga, khasnya kanak-kanak sudah mempunyai lebih lima jenis aiskrim sejak diperkenalkan pada 1998.

 

Mat Kool FruityBug gabungan perisa strawberi dan nanas, boleh didapati di kedai dan platfom atas talian e-dagang, 11street pada harga runcit RM1.90 mulai hari ini.

 

Berita Harian X