Jumaat, 2 September 2022 | 5:30pm
Tony menyerahkan cenderahati kepada penumpang penerbangan sulung AirAsia Indonesia bagi laluan Jakarta-Silangit -NSTP/Muhammad Yusri Muzamir
Tony menyerahkan cenderahati kepada penumpang penerbangan sulung AirAsia Indonesia bagi laluan Jakarta-Silangit -NSTP/Muhammad Yusri Muzamir

AirAsia Indonesia buka laluan Jakarta-Silangit

DANAU TOBA: AirAsia Indonesia di bawah Capital A Bhd mengembangkan rangkaian domestik dan pelancongan di republik itu dengan melancarkan penerbangan sulung bagi laluan Jakarta-Silangit.

Ia sekali gus menandakan permulaan kukuh bersama pihak berkepentingan kerajaan, sektor pelancongan dan industri utama bagi meningkatkan jumlah pelancong dan menjadikan Danau Toba sebagai lokasi tarikan utama di peringkat global.

Serentak itu, AirAsia Indonesia turut melancarkan slogan baharunya 'Terbang Lagi Indonesia' sebagai menandakan komitmennya terhadap pembangunan ekonomi wilayah dan pemerkasaan komuniti di republik berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pihaknya komited menyokong sektor pelancongan serantau serta memperkasakan komuniti di Danau Toba, iaitu antara destinasi pelancongan utama Indonesia.

Beliau berkata, pihaknya menekankan kebolehcapaian, keterjangkauan, keterangkuman dan menawarkan perkhidmatan kepada semua golongan, termasuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan diri dengan era digital baharu.

"Saya amat berbangga untuk menyertai penerbangan sulung ke Danau Toba yang menjadi antara destinasi utama Indonesia dan sebahagian daripada Geopark Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), hari ini.

"Ia juga mempunyai banyak potensi menarik untuk ditawarkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Bukan sahaja dari segi tarikan, malah pengalaman membabitkan kekayaan biodiversiti kepada budaya dan gaya hidup komunitinya.

"Indonesia adalah antara destinasi kami yang paling popular dan penting. Justeru, kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan untuk mempromosikan dan menyokong destinasi luar biasa ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Tony diiringi CEO AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine Sinaga menaiki penerbangan itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta pada jam 11.50 pagi (waktu tempatan) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit di sini, dua jam kemudian.

Pada sesi penerbangan sama, Tony sempat meluangkan masa mengambil peranan sebagai anak kapal dengan mengutip sampah, sebaik semua penumpang pesawat QZ724 selesai menjamu selera.

Tony berkata, AirAsia di peringkat awal bakal mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Jakarta-Silangit, masing-masing pada Selasa, Khamis dan Sabtu, menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti 180 penumpang dan elaun bagasi percuma 20 kilogram (kg) dan elaun bagasi kabin 7kg.

"Tambang bernilai hebat juga merangsang perjalanan udara ke semua destinasi kami, selain berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk memastikan Danau Toba menjadi lokasi keutamaan dalam masa terdekat

"Perkhidmatan akan ditambah mengikut permintaan, selain tiket penerbangan bagi laluan itu boleh ditempah melalui airasia Super App, airasia.com, ejen pelancongan dalam talian dan ejen jualan tiket rasmi lain.

"Bagi tempahan berkumpulan 10 orang atau lebih, sila hubungi iaa_groupdesk@airasia.com. AirAsia juga menyarankan tetamu supaya mengikut protokol kesihatan semasa dan memenuhi keperluan perjalanan mengikut peraturan terkini ditetapkan kerajaan," katanya.

Berita Harian X