Selasa, 27 September 2022 | 3:50pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Azi -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Azi -NSTP/Hairul Anuar Rahim

PETRONAS, Jepun perkukuh kerjasama capai sasaran neutral karbon

KUALA LUMPUR: PETRONAS menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun serta memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Bank for International Cooperation (JBIC), untuk sama-sama meneruskan matlamat kemampanan/kelestarian dan mencapai neutral karbon menjelang 2050.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat minyak negara itu berkata, MoC dengan METI bertujuan meningkatkan kerjasama antara PETRONAS dan Jepun dalam pembangunan serta penggunaan sumber tenaga dan teknologi untuk mencapai peralihan tenaga pragmatik.

Sementara itu, MoU bersama JBIC menumpukan pada meluas dan meningkatkan kerjasama dua hala antara PETRONAS dan syarikat-syarikat Jepun dalam projek yang dikendalikan oleh PETRONAS secara global dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan rantaian nilai hidrogen dan ammonia, tenaga boleh diperbaharui, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan mobiliti hijau.

"MoC dan MoU itu dijangka memudahkan pelaburan dan pembiayaan selain dapat meningkatkan kerjasama teknikal dan kecekapan dalam teknologi rendah karbon di rantau ini," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata Jepun telah lama menjadi rakan kongsi syarikat sejak zaman eksport gas asli cecair (LNG) pertama pada awal 1980-an dan perkongsian ini telah berkembang merangkumi bidang kerjasama baharu dalam ruang tenaga bersih.

"PETRONAS berbesar hati untuk terus mengukuhkan lagi hubungan kami melalui kerjasama dengan METI dan JBIC ini dalam meneruskan pertumbuhan hijau untuk Asia ke arah peralihan tenaga," katanya.

Beliau berkata ,kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh termasuk akses yang lebih baik kepada teknologi dan pembiayaan, adalah kunci untuk mencapai peralihan tenaga yang berkesan dan seimbang.

Tengku Muhammad Taufik berkata, kerjasama itu tepat pada masanya sejajar dengan pelancaran Dasar Tenaga Negara (DTN) baru-baru yang menggariskan rancangan pembangunan jangka panjang negara dan pada masa yang sama memenuhi keperluan tenaga sambil beralih kepada masa hadapan rendah karbon.

"Berpandukan DTN dan matlamat dalaman kami dalam memenuhi tujuannya sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif, PETRONAS akan meneruskan kerjasama sinergi dalam menyokong agenda tenaga Malaysia dan aspirasi kumpulan sendiri untuk pertumbuhan berterusan dalam ruang ini," jelasnya.

Majlis pemeteraian dokumen diadakan pada 26 September 2022 di luar acara Mesyuarat Peringkat Menteri mengenai Perkongsian Pertumbuhan Hijau Asia (AGGPM) di Jepun.

-BERNAMA

Berita Harian X