X
Rabu, 20 Julai 2022 | 6:03pm
Pembukaan semula laluan antarabangsa mendorong peningkatan trafik penumpang lapangan terbang dikendalikan MAHB - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pembukaan semula laluan antarabangsa mendorong peningkatan trafik penumpang lapangan terbang dikendalikan MAHB - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Lapangan terbang kendalian MAHB semakin sibuk

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat lebih enam kali ganda kepada 20.25 juta penumpang pada separuh pertama 2022 menerusi rangkaian lapangan terbangnya di seluruh negara.

Prestasi memberangsangkan itu didorong oleh syarikat penerbangan asing yang beroperasi semula dan pembukaan semula laluan antarabangsa.

Pada Jun 2022, jumlah pergerakan trafik penumpang Malaysia berjumlah 4.54 juta penumpang.

Ia membentuk 63 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan yang mencecah 7.21 juta, yang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW).

Malaysia merekodkan 1.29 juta penumpang trafik antarabangsa, manakala trafik domestik adalah 3.24 juta penumpang.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata trafik antarabangsa di Malaysia semakin baik dan ia boleh dilihat daripada prestasi Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bulan lalu.

Beliau berkata, jumlah trafik antarabangsa KLIA melepasi paras sejuta penumpang buat pertama kali sejak pandemik.

"Ia merekodkan 1.09 juta penumpang antarabangsa iaitu peningkatan 21 peratus berbanding Mei. Lapangan terbang antarabangsa lain dalam rangkaian tempatan kami juga ada mencatatkan peningkatan jumlah penumpang antara 35 peratus hingga 66 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya.

"Kami yakin keadaan ini akan terus bertambah baik dengan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi semula di lapangan terbang kami," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jun, MAHB mengalu-alukan empat syarikat penerbangan asing yang memulakan semula operasi di Malaysia termasuk Citilink (QG) dan Lion Air (JT) yang terbang bagi laluan Medan-Kuala Namu (KNO)-Pulau Pinang (PEN), dan Air Busan (BX) dan JejuAir (7C) yang terbang bagi laluan Seoul-Incheon (INC)-Kota Kinabalu (BKI).

Laluan INC-BKI ialah laluan baharu untuk BX.

Selain kembalinya semula syarikat penerbangan asing, kumpulan turut menyaksikan pembukaan semula laluan prapandemik.

Batik Air (OD) memulakan semula laluan Subang (SZB)-Batam (BTH) dan KUL-Denpasar (DPS), dan pada masa yang sama, Firefly (FY) mengembalikan semula operasi SZB-Seletar (XSP).

Sementara itu, Pakistan International Airlines (PK) memperkenalkan laluan baharu menghubungkan Lahore (LHE) ke Kuala Lumpur (KUL).

Operasi Turki kekal konsisten kerana ia mencatatkan sejumlah 2.68 juta pergerakan penumpang, peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding Mei 2022.

Berita Harian X