Ahad, 10 Julai 2022 | 11:51am
G Capital Bhd (GCap)
G Capital Bhd (GCap)

GCap dapat kontrak kurangkan air tanpa hasil

KUALA LUMPUR: Anak syarikat 51 peratus milik G Capital Bhd (GCap), G Capital Water Solutions Sdn Bhd, dianugerahkan kontrak air tanpa hasil (NRW) pertama di Pulau Langkawi, Kedah bernilai RM7.05 juta.

Projek dijangka siap dalam tempoh 13 bulan, bermula pada Julai 2022.

Pengarah Eksekutif GCap, Datuk Yap Yee Ping berkata kontrak untuk mengurangkan NRW di pulau itu menjadikan jumlah nilai perolehan kontrak G Capital Water Solutions kepada RM9.78 juta.

"Ini permulaan yang baik untuk kumpulan GCap dalam bidang NRW dan untuk pasukan pengurusan baharu G Capital Water Solutions sejak kami mengambil alih 51 peratus pemilikan pada 28 Feb 2022.

"Melangkah dalam bidang NRW adalah sejajar dengan sasaran Kerajaan Malaysia dalam Rancangan Malaysia (RMK-12) yang menyasarkan untuk mengurangkan NRW kepada 25 peratus daripada 36.4 peratus dalam Matlamat Pembangunan Mampan 2020," katanya.

GCap berkata, dengan objektif utama 10 juta liter sehari pengurangan NRW di Pulau Langkawi, skop kerja termasuk pemeriksaan kebocoran saluran paip 55 kilometer (km) menggunakan teknologi pengesanan kebocoran bertaraf dunia yang dinamakan 'SmarBall Leak Detection System'.

Ia berkata, mengenai panjangnya, 35 km adalah saluran paip dasar laut dari tanah besar ke Pulau Langkawi yang membekalkan lebih 50 peratus daripada keperluan air boleh diminum di pulau itu.

"Kerja pakar NRW lain termasuk pengemaskinian teknologi maklumat geografi (GIS), pemodelan hidraulik, pengurusan tekanan lanjutan dan kawalan kebocoran aktif," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X