Jumaat, 1 Julai 2022 | 9:58pm
Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail
Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail

Tunku Tun Aminah dilantik jadi pengarah BCorp

KUALA LUMPUR: Berjaya Corporation Bhd (BCorp) mengumumkan pelantikan dua Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif baharu dalam lembaga pengarahnya, iaitu Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail dan Tan Sheik Ling, berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu turut mengumumkan peletakan jawatan dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, iaitu Datin Seri Sunita Mei-Lin Rajakumar dan Datuk Hisham Othman, berkuat kuasa hari ini.

"Hisham telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif syarikat berkaitan BCorp, Berjaya Assets Bhd (B-Assets) berkuat kuasa 1 Julai 2022," katanya.

Barisan baharu dan perubahan dalam lembaga pengarah, katanya, mencerminkan sejumlah 14 ahli lembaga pengarah dan sembilan pengarah wanita mewakili 64 peratus wakil wanita, jauh melebihi 30 peratus yang disyorkan di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, B-Assets berkata Hisham mempunyai pengalaman pengurusan tertinggi yang luas dalam pelbagai bidang perniagaan seperti strategi, pelaburan, pengurusan operasi, pengurusan kewangan, pengurusan risiko, pengurusan projek, kualiti, pemasaran dan jualan, pembangunan perniagaan, tadbir urus, pematuhan dan pengurusan pihak berkepentingan.

"Dengan memegang jawatan sebagai CEO dalam pelbagai industri selama bertahun-tahun, Hisham mempunyai pengalaman mendalam yang berharga dalam bidang pembangunan hartanah, pembinaan, lebuh raya, konsesi, infrastruktur, automotif dan pengangkutan.

"Beliau sudah biasa dengan pengurusan projek, reka bentuk, pembinaan, pelaksanaan, penyiapan dan penyelenggaraan projek," katanya.

Hisham adalah pengarah risiko yang berkelayakan dan ahli Institut Pengamal Risiko Perusahaan yang berpangkalan di United Kingdom, serta ahli Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) dan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM).

-BERNAMA

Berita Harian X