X
Khamis, 23 Jun 2022 | 12:04pm
Tinjauan trafik penumpang di KLIA - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Tinjauan trafik penumpang di KLIA - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Trafik antarabangsa di lapangan terbang MAHB melonjak

SEPANG: Pemulihan trafik antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan milik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mendapat rangsangan menerusi penambahan satu lagi syarikat penerbangan asing baharu dan penyambungan semula operasi lima lagi syarikat bulan lalu.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, Lanmei Airlines, syarikat penerbangan tambang rendah dari Kemboja menjadi jenama terbaharu beroperasi di Malaysia menerusi pelancaran penerbangan mingguan yang menghubungkan Phnom Penh (PNH) – Kuala Lumpur (KUL) menerusi pesawat Airbus A320.

Katanya, ia adalah syarikat penerbangan ketiga yang menawarkan perkhidmatan di laluan berkenaan selepas Malaysia Airlines (MH) dan AirAsia (AK).

"Lima syarikat penerbangan yang beroperasi semula di Malaysia termasuk syarikat penerbangan tambang rendah India, IndiGo yang menawarkan perkhidmatan pesawat dari Chennai (MAA) dan Tiruchirappalli (TRZ) ke KUL, serta Thai Smile Airways yang terbang menerusi laluan Bangkok (BKK) – Penang (PEN).

"Di Malaysia Timur, Royal Brunei Airlines memulakan semula penerbangan dari Brunei (BWN) ke Kuching (KCH) dan Kota Kinabalu (BKI), sementara Jin Air dari Korea dengan laluan Incheon (ICN) – BKI," katanya.

Philippines AirAsia (Z2) juga telah beroperasi semula dengan menawarkan penerbangan bagi laluan Manila (MNL) – BKI.

Untuk Mei, MAHB merekodkan keseluruhan 1.03 juta pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia, melepasi paras sejuta penumpang buat kali pertama sejak sempadan antarabangsa ditutup pada Mac 2020.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa membolehkan pengendali lapangan terbang itu berjaya mencatat peningkatan purata trafik antarabangsa bulanan melebihi 50 peratus.

"Permintaan sudah ada bagi syarikat penerbangan bagi merebut peluang dan mempercepatkan pemulihan. Bagi pengendali lapangan terbang, setiap kemasukan baharu syarikat penerbangan asing ke negara itu menandakan pertumbuhan positif untuk landskap penerbangan.

"Lanmei Airlines ialah syarikat penerbangan asing baharu kedua yang kami alu-alukan masuk ke Malaysia tahun ini, menjadikan 43 rakan kongsi syarikat penerbangan asing yang beroperasi di rangkaian lapangan terbang kami di Malaysia.

"Kami berharap dapat menarik lebih banyak rakan kongsi syarikat penerbangan baharu tahun ini sambil mengalu-alukan syarikat penerbangan yang kembali beroperasi di sini," katanya.

Selain pengoperasian semula perkhidmatan penerbangan, kumpulan juga menyaksikan pengenalan laluan baharu pada Mei, seperti penerbangan KUL – Doha (DOH) yang ditunggu-tunggu oleh Malaysia Airlines dan penerbangan domestik Subang (SZB) – Tioman (TOD) oleh SKS Airways.

Sementara itu, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia menyambung semula penerbangan mereka dari KUL ke BWN, Male (MLE), Chiang Mai (CNX), Bengaluru (BLR), Kolkata (CCU), Kochi (COK), Sihanoukville (KOS) dan Siem Reap (REP).

Bulan lalu, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 7.10 juta pergerakan penumpang untuk lapangan terbang tempatannya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW).

Menurut MAHB, prestasi trafik kumpulan terus berkembang dan telah melepasi paras angka tujuh juta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

"Kedua-dua operasi Malaysia dan Turki juga mencatatkan jumlah penumpang tertinggi bagi tahun ini masing-masing sebanyak 4.57 juta dan 2.60 juta.

"Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh sambutan Aidilfitri, Pesta Menuai Sabah dan Sarawak serta bermulanya cuti musim panas di Turki yang semuanya berlangsung pada Mei," katanya.

Di peringkat domestik, pergerakan penumpang tempatan meneruskan trajektori pemulihannya dengan merekodkan lebih daripada tiga juta pergerakan penumpang buat kali pertama sejak Februari 2020 atau 91 peratus daripada tahap sebelum COVID-19.

"Momentum trafik yang meningkat pada Mei berterusan hingga Jun dengan peningkatan 11 peratus dalam purata pergerakan penumpang harian kepada 163,000.

"Sementara itu, trafik bagi laluan syarikat penerbangan dan pengembangan kapasiti SAW terus memacu pergerakan penumpang dengan merekodkan 1.20 juta penumpang antarabangsa pada Mei, yang juga jumlah tertinggi setakat ini untuk tahun ini.

"Anadolujet dan Pegasus memulakan perkhidmatan baharu ke Milan-Bergamo dan Helsinki, masing-masing dengan penerbangan harian dan empat kali seminggu," kata MAHB.

Berita Harian X