Selasa, 21 Jun 2022 | 8:52pm
Pesawat milik SKS Airways.
Pesawat milik SKS Airways.

SKS Airways tambah penerbangan ke Redang, Tioman

KUALA LUMPUR: SKS Airways, syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penerbangan penumpang berjadual dan penerbangan sewa-khas meningkatkan kekerapan penerbangan dari Subang ke Pulau Redang dan Pulau Tioman.

Ia berkata, bermula 1 Julai ini sehingga 29 Oktober 2022, jadual penerbangan terus SKS Airways dari Subang ke Pulau Redang dan Subang ke Pulau Tioman akan ditambah kekerapan kepada dua kali sehari.

SKS Airways berkata, penerbangan dari Subang ke Pulau Redang adalah pada jam 8.30 pagi dan 1.10 petang, sementara penerbangan dari Pulau Redang ke Subang adalah masing-masing pada jam 10.30 pagi dan 3.10 petang dengan tambang sehala termasuk caj bermula dari RM259.

Ia berkata, penerbangan dari Subang ke Pulau Tioman pula adalah pada jam 9 pagi dan 12.40 tengah hari, sementara penerbangan dari Pulau Tioman ke Subang pada jam 10.50 pagi dan 2.30 petang dengan tambang sehala termasuk caj bermula dari RM279.

"SKS Airways melancarkan penerbangan komersial berjadual ke Pulau Redang dan Pulau Tioman sejak 31 Januari dan 1 Mei 2022 yang lalu telah merancakkan lagi industri pelancongan domestik negara. 

"Bukan hanya mendapat sambutan daripada pelancong tempatan, penerbangan SKS Airways juga menarik minat pelancong asing yang berkunjung di Malaysia dan seterusnya bercuti ke Pulau Redang dan Pulau Tioman berikutan pembukaan sekatan perjalanan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai sambutan memberangsangkan itu, Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad, berkata perkembangan yang positif itu diharapkan berterusan. 

Beliau berkata, beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan pada masa hadapan termasuk melancarkan modul 'flight+hotel booking' dan pakej percutian SKS Airways ke Pulau Redang dan Pulau Tioman. 

"Pihak kami mengalu-alukan kerjasama dengan industri yang terbabit seperti hotel, resort, agensi pelancongan dan jabatan pelancongan dalam mempromosikan destinasi pelancongan domestik," katanya.

Menggunakan pesawat 19-penumpang, DHC6-300 Twin Otter, yang terbang dengan purata ketinggian 10,000 kaki, SKS Airways menawarkan pengalaman percutian pulau yang mana penumpang dapat menikmati pemandangan luar yang menarik dari dalam pesawat sepanjang perjalanan.

Untuk perkembangan terkini dan maklumat promosi, orang ramai boleh melayari www.sksairways.com atau ikuti media sosial SKS Airways di Twitter (twitter.com/sksairways), Facebook (facebook.com/sksairways), Instagram (@sksairways) dan LinkedIn (SKS Airways).

SKS Airways adalah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penerbangan penumpang berjadual dan penerbangan sewa-khas atau catar yang beribu pejabat di Subang, Selangor dan ia adalah sebahagian daripada kumpulan SKS Group.

SKS Group adalah organisasi pelbagai disiplin dengan perniagaan utama merangkumi pembangunan hartanah, pegangan pelaburan, hospitaliti dan kredit kewangan yang beribu pejabat di Johor Bahru, Johor.

Berita Harian X