Rabu, 11 Mei 2022 | 1:32pm

Emirates promosi sektor pelancongan Malaysia

KUALA LUMPUR: Emirates menandatangani momerandum kerjasama (MoC) dengan Lembaga Pelancongan Malaysia bagi mengukuhkan lagi ekosistem industri pelancongan negara.

MoC itu juga akan mempromosikan industri pelancongan serta meningkatkan sasaran kemasukan pelancong dan pengunjung luar ke Malaysia sebagai tarikan utama di seluruh rangkaian syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Komersial Emirates, Adnan Kazim, berkata pihaknya berhasrat untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif baru bagi mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia merentasi 130 destinasi dalam rangkaian globalnya.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat dalam usaha membangunkan sektor pelancongan, Emirates juga ingin meninjau peluang kerjasama melalui anjuran program seperti sesi suai kenal dan memperluas profil media ke pasaran.

" Emirates kekal komited dalam pasaran Malaysia bukan sahaja dari segi perkhidmatan pelanggan  tetapi juga memperluaskan potensi pasaran melalui kerjasama perkongsian dan inisiatif lain dengan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan Malaysia.

"MoC ini membentuk hubungan diplomatik serta menitikberatkan Malaysia sebagai pasaran utama dalam rangkaian global Emirates," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, seiring dengan langkah pemulihan Malaysia ke arah endemik, Emirates turut meningkatkan perkhidmatan selepas meneruskan semula penerbangan penumpang ke Malaysia pada 17 Jun 2020.

Beliau berkata, sejak pembukaan semula penerbangannya itu, pihaknya telah meningkatkan perkhidmatan penumpang secara beransur-ansur merangkumi 11 penerbangan mingguan antara Dubai dan Kuala Lumpur.

"Emirates menaruh harapan agar usaha peningkatan dalam permintaan perjalanan dua hala dari pasaran dengan pembukaan semula sempadan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kerjasama dengan peserta penerbangan global ini mampu memberi impak positif terhadap industri pelancongan serta mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kami berharap Emirates akan terus bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unik dipenuhi bandar-bandar yang menarik seperti Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

"Melalui rangkaian penerbangan Emirates, kerjasama ini juga bertujuan untuk menarik minat pelancong asing dari pelbagai pasaran seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika," katanya.

 

Pada 2016, Malaysia Airlines dan Emirates telah menandatangani perjanjian perkongsian kod yang menawarkan perkhidmatan pelanggan yang lancar serta lebih banyak pilihan menarik disediakan misalnya memberi faedah penerbangan kerap bagi pengguna serta pengalaman perjalanan bertaraf dunia.

Perjanjian itu menghubungkan penumpang Malaysia Airlines ke pelbagai destinasi seperti Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Syarikat melalui Dubai, manakala, penumpang Emirates di seluruh Malaysia, Asia Tenggara dan sebilangan destinasi di Asia Pasifik melalui Kuala Lumpur.

Berita Harian X