Rabu, 13 April 2022 | 11:44am
(Gambar fail) Pusat Pameran UMW Toyota Motor di Bandar Indahpura, Kulaijaya. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
(Gambar fail) Pusat Pameran UMW Toyota Motor di Bandar Indahpura, Kulaijaya. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

Jualan kenderaan kumpulan UMW lonjak 48 peratus pada Mac

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan oleh syarikat dalam Kumpulan UMW terus menunjukkan peningkatan pada bulan Mac apabila kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, PERODUA, mencatatkan jualan automotif yang lebih baik berbanding dengan bulan sebelumnya.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mencatatkan jualan sebanyak 35,246 unit pada Mac, meningkat 48 peratus daripada 23,853 unit yang didaftarkan pada bulan Februari 2022.

Susulan itu katanya, ia susulan kadar pengeluaran yang dipertingkatkan bagi memenuhi tempatan tertunggak.

"Jualan UMWT melonjak kepada 32 peratus kepada 8,487 unit pada Mac 2022 berbanding 6,432 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya. Bagi suku pertama 2022, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 22,447 unit, 31 peratus lebih tinggi daripada 17,151 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

"Model paling laris pada suku pertama tahun ini ialah Hilux, Vios, Corolla Cross dan Yaris," kata kenyataan itu.

Sementara itu, jualan PERODUA pula katanya, meningkat kepada 26,759 unit pada Mac, iaitu 54 peratus lebih tinggi daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya.

Pada suku pertama 2022, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 61,624 unit, sejumlah 6.0 peratus lebih tinggi daripada 57,909 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama 2021.

"PERODUA sudah meraih 25 peratus daripada sasaran jualan tahunannya iaitu 247,800 unit bagi tahun ini.

"Model terlaris bagi suku pertama adalah Myvi yang telah diubahsuai baru-baru ini, diikuti oleh Axia dan Bezza.

"Oleh kerana kesan pandemik dan isu bekalan komponen masih berlarutan, PERODUA gigih bekerjasama dengan pembekal dan pengedarnya untuk meminimumkan kesan yang dialami oleh pelanggannya," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata: "Kami sangat berbesar hati dengan peningkatan terhadap jualan yang didaftarkan oleh UMWT dan PERODUA pada Mac 2022, disokong oleh tempahan yang kukuh.

"Kedua-dua syarikat berada di landasan yang betul dalam mencapai sasaran jualan mereka untuk tahun ini, dan meningkatkan tahap pengeluaran berdasarkan kepada kapasiti yang sedia ada bagi mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan kami. "

Kedua-dua syarikat itu, katanya, merancang untuk memperkenalkan beberapa model serba baharu dan kemas kini pada tahun ini untuk memacu jualan dan mencapai sasaran jualan mereka.

Berita Harian X