Jumaat, 25 Februari 2022 | 7:14pm
Bangunan ikonik Menara TM
Bangunan ikonik Menara TM

TM tiada rancangan beli semula menara

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) menjelaskan tiada keperluan untuk syarikat itu membeli semula bebarapa aset yang menempatkan pejabat korporatnya, termasuk bangunan ikonik Menara TM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar, berkata di bawah pelan tranformasi TM, beberapa perkara sudah dilaksanakan termasuk landskap pekerjaan.

"Pelan transformasi TM serta norma baharu pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19 tidak memerlukan kami mempunyai ruang kerja yang besar.

"Ini kerana, ketika ini juga TM mempunyai pendekatan kerja yang berbeza di mana pekerja kami hanya hadir selama tiga hari di pejabat dan dua hari lagi dari rumah.

"TM juga mempunyai bangunan sendiri yang mempunyai ruang kerja mencukupi. Daripada menyewa, lebih baik kumpulan menggunakan sepenuhnya kapasiti bangunan sendiri," katanya selepas taklimat media prestasi kewangan 2021 TM secara maya hari ini.

WTW Real Estate Sdn Bhd (CBRE|WTW) baru-baru ini menawarkan bangunan ibu pejabat TM, Menara TM dan menara korporatnya untuk dijual melalui penyataan minat (EOI) dan pelaksanaan tender.

CBRE|WTW sebagai ejen pemasaran eksklusif yang dilantik kini sedang mendapatkan EOI yang tidak mengikat untuk Menara TM daripada pelabur berpotensi bagi membeli bangunan itu.

Ia juga sedang mencari pelabur berpotensi untuk membuat bidaan melalui tender bagi menara korporat TM, Menara TM Semarak dan Wisma TM Taman Desa, menjelang tengah hari pada 31 Mac 2022.

Ia juga mengatakan bahawa Menara ABS Bhd adalah syarikat tujuan khas milik amanah yang diperbadankan semata-mata untuk transaksi jual beli dan pajakan balik yang melibatkan empat hartanah pada 2008.

Tiga daripadanya ialah Menara TM, Menara TM Semarak serta Wisma TM Taman Desa dan hartanah ini dipegang di bawah perjanjian pajakan induk selama 15 tahun dengan TM.

Berita Harian X