Isnin, 21 Februari 2022 | 4:07pm
Gambar arkib. Pusat Pameran UMW Toyota Motor di Bandar Indahpura, Kulaijaya. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
Gambar arkib. Pusat Pameran UMW Toyota Motor di Bandar Indahpura, Kulaijaya. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

Jualan kenderaan kumpulan UMWT meningkat 20 peratus

KUALA LUMPUR: Kumpulan UMW Holdings Bhd memulakan 2022 dengan prestasi jualan automotif yang menggalakkan sebanyak 24,972 unit pada Januari, meningkat 20.4 peratus daripada 20,740 unit pada tempoh sama tahun lalu.

UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutunya, PERODUA terus mencatatkan jualan yang lebih tinggi walaupun masih berhadapan dengan cabaran akibat pandemik COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata UMWT merekodkan peningkatan jualan hampir dua kali ganda dengan 7,528 unit, iaitu 95.8 peratus lebih tinggi daripada 3,845 unit yang dijual pada Januari 2021.

Beliau berkata, Toyota Vios, Hilux dan Yaris terus menjadi model terlaris bagi UMWT pada Januari.

Katanya, PERODUA pula mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 17,444 unit pada Januari 2022, lonjakan 3.2 peratus daripada 16,895 unit yang dijual pada tempoh sama tahun lalu.

"Kumpulan menjangkakan pertumbuhan jualan automotif yang memberangsangkan dalam beberapa bulan akan datang.

"Ia akan disokong oleh pengenalan model baharu yang menarik serta pengecualian cukai jualan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuaad berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat hampir 18 peratus kepada 600,000 unit pada 2022, disokong oleh unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun ini, sokongan berterusan daripada kerajaan serta peningkatan keyakinan pengguna.

Beliau berkata, UMWT dan PERODUA juga akan terus memberikan fokus terhadap langkah memperkenalkan model baharu dan model yang ditambah baik.

"Kami juga akan menawarkan perkhidmatan selepas jualan terbaik untuk memenuhi keperluan dan harapan pelanggan dalam usaha kami mencapai sasaran pada 2022," katanya.

Selain prestasi membanggakan itu, Ahmad Fuaad berkata, UMWT turut memperluaskan penawaran produknya dalam ruang kenderaan elektrik, dengan melancarkan Toyota Corolla Cross pada 14 Januari 2022, iaitu kenderaan elektrik hibrid (HEV) pertama dengan pemasangan tempatan pada platform 'New Global Architecture' Toyota (TNGA).

Beliau berkata, PERODUA juga menyasarkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 247,800 unit tahun ini, peningkatan sebanyak 30 peratus daripada 190,291 unit yang dijual pada 2021.

PERODUA katanya merancang untuk meningkatkan pengeluaran kepada 265,900 kenderaan pada tahun ini dan dalam pada itu, akan membeli komponen bersumberkan tempatan bernilai RM7.5 bilion pada 2022 yang akan mengekalkan dan memperkukuh industri automotif tempatan.

Berita Harian X