Isnin, 21 Februari 2022 | 12:53pm
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Lotus Cars bercadang senaraikan Lotus Technology di pasaran saham

KUALA LUMPUR: Lotus Cars, syarikat automotif terkemuka global 49 peratus milik Etika Automotive Sdn Bhd yang dikuasai tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, merancang untuk menyenaraikan cabang perniagaannya di pasaran saham.

Memetik laporan daripada Autocar United Kingdom, rancangan itu adalah bagi penyenaraian Lotus Technology yang dianggarkan bernilai sekitar £5 hingga £6 bilion (RM28.5 bilion hingga RM34.2 bilion).

"Lotus ketika ini sedang melaksanakan langkah bertemu dengan pelabur berpotensi bermula di China diikuti United Kingdom bagi memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) SUV yang dikenali sebagai Type 132.

"Ia merancang untuk menjual 100,000 kenderaan itu setahun bermula 2028 dengan 90,000 daripada adalah kenderaan EV yang dikeluarkan oleh Lotus Technology," katanya.

Rancangan penyenaraian itu dijangka akan dilaksanakan dalam 12 hingga 24 bulan akan datang tetapi masih belum ada keputusan untuk menyenaraikannya di pasaran saham Asia, London atau New York.

Syarikat itu dilaporkan lebih mengutamakan tawaran awam permulaan (IPO) berbanding kaedah penyenaraian syarikat pengambilalihan tujuan khas seperti yang dilaksanakan Geely Polestar baru-baru ini.

Reaksi pasaran dan minat pelabur di China ketika ini dikatakan sangat tinggi terhadap perancangan itu.

"Keputusan untuk menyenaraikan Lotus Technology dan bukannya Lotus Cars adalah bergantung kepada struktur pemilikan bahagian," katanya.

Pada Mei 2017, DRB-Hicom Bhd keluar dari segmen kereta sport dengan penjualan Lotus Advance Technologies Sdn Bhd dengan harga £100 juta kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, yang mengambil alih 51 peratus kepentingan dan Etika Automotive, yang memegang 49 peratus kepentingan.

Etika juga mempunyai kepentingan kecil dalam Lotus Technology sebanyak 30 peratus.

Lotus akan melancarkan Type 132 tahun hadapan dengan kenderaan EV kompak, Type 133 sebelum memperkenalkan EV SUV pada 2025.

Type 135, iaitu kereta sport EV pula dijangka akan diperkenalkan pada 2026.

Berita Harian X