Rabu, 16 Februari 2022 | 11:46am
Singapura adalah salah satu pasaran utama Capital A - Foto AFP
Singapura adalah salah satu pasaran utama Capital A - Foto AFP

airasia Super App tawar pakej pelancongan ke Singapura

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd memperkukuhkan lagi lonjakan industri pelancongan serantau pasca pandemik COVID-19 menerusi kerjasama strategik dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata melalui persefahaman itu, orang ramai kini boleh mengakses pelbagai tawaran pelancongan menarik ke Singapura melalui airasia Super App.

Beliau berkata, memorandum perjanjian persefahaman (MOU) antara Capital A dan STB membolehkan industri pelancongan serta perjalanan diperkukuhkan, sekali gus meningkatkan semula kemasukan pelancong.

Pengguna airasia Super App, katanya, kini boleh menempah pengalaman pelancongan di Singapura seperti pakej penerbangan dan hotel, pelbagai makanan dan pengalaman lain.

"Singapura adalah salah satu pasaran utama kumpulan dan sebagai aplikasi super yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan platform pelancongan dalam talian (OTA) yang kukuh.

"Dengan data yang dikumpul selama 20 tahun sebagai syarikat penerbangan terkemuka global, kumpulan yakin dapat memaksimumkan kerjasama dan membawa pelancong merentasi Asia Tenggara ke Singapura," katanya ketika majlis MOU secara maya hari ini.

Tony berkata, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk merintis penyelesaian digital bagi meningkatkan pengalaman pelancong di Singapura.

Beliau berkata, ia juga membolehkan pertukaran pengetahuan dan pandangan untuk mengenali pelancong dari pasaran Asia Tenggara dengan lebih dekat.

Katanya, Capital A dan STB juga akan bersama-sama mempromosikan Singapura melalui kempen pemasaran dan perkongsian kandungan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo, berkata adalah penting bagi semua pihak berkepentingan industri untuk bekerjasama dan memacu industri pelancongan ke hadapan ketika ini.

Beliau berkata, airasia Super App bersedia untuk memudahkan perjalanan rentas negara di rantau ini kerana mempunyai platform perjalanan holistik dengan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan untuk merancang perjalanan.

"Kerjasama dengan STB adalah strategik dan tepat pada masanya. Kami berharap untuk mempromosikan Singapura kepada semua pengguna aplikasi kami di seluruh Asia Tenggara," katanya.

Berita Harian X