Khamis, 6 Januari 2022 | 2:07pm
Pesawat milik SKS Airways Sdn Bhd
Pesawat milik SKS Airways Sdn Bhd

SKS Airways dapat lesen perkhidmatan udara

KUALA LUMPUR: SKS Airways Sdn Bhd menerima Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bermula 1 Januari lalu, yang membolehkannya berada di peringkat akhir untuk memulakan perkhidmatan sulung sekali gus muncul peserta baharu industri penerbangan negara.

Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad, berkata kejayaan penting ini membolehkan syarikat itu kini bersedia untuk melancarkan operasi penerbangan dalam masa terdekat.

"Ini menjadikan SKS Airways sudah boleh beroperasi secara rasmi dan kami tidak sabar untuk melayani pelanggan di samping mengekalkan piawaian kebersihan dan keselamatan tertinggi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Rohman berkata, pandemik yang melanda sejak dua tahun kebelakangan ini memberikan kesukaran kepada industri penerbangan dan pelancongan bukan hanya di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya kesukaran itu dilihat semakin beransur pulih dan operasi perniagaan kembali dibuka semula, termasuk industri penerbangan.

"Kami di SKS Airways sudah bekerja keras dalam tempoh ini untuk memperkenalkan syarikat penerbangan komersil baharu yang memfokuskan kepada destinasi laluan yang belum atau kurang diteroka.

"Kami juga akan mula menerima tempahan penerbangan tidak lama lagi. Pelanggan boleh melayari www.sksairways.com untuk maklumat lanjut," katanya.

SKS Airways, sebuah anak syarikat SKS Group yang berpangkalan di Johor Bahru, adalah syarikat penerbangan komersial berjadual terbaharu di Malaysia yang diberikan ASL penuh.

ASL penuh diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo mengikut jadual tetap menggunakan udara antara dua tempat, selagi ia berada dalam sempadan Malaysia.

Lesen itu hanya akan dikeluarkan kepada pemohon yang emmegang Sijil Pengendali Udara (AOC) sah yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

SKS Airways menerima AOC itu pada 1 Oktober 2021.

Dalam temubual bersama BH sebelum ini, SKS Airways berkata ia menyasarkan memulakan operasi pada suku pertama 2021 dengan menjadikan Subang, Pulau Pangkor, Pulau Tioman and Pulau Redang sebagai destinasi penerbangan pertama.

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang akan menjadi hab utamanya.

Berita Harian X