Ahad, 19 Disember 2021 | 1:31pm

Omicron dijangka jejas pemulihan Genting

KUALA LUMPUR: Langkah kebanyakan negara di seluruh dunia melaksanakan kawalan sempadan susulan kemunculan varian baharu COVID-19 dijangka memberi kesan kepada pemulihan perniagaan Genting Bhd.

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Ng Chi Hoong, berkata pemulihan perniagaan syarikat berkenaan mungkin akan mengambil masa lebih lama kesan kemunculan Omicron di seluruh dunia.

"Kami sebelum ini menjangkakan pelancongan antarabangsa akan disambung semula dengan lebih progresif sepanjang tahun depan tetapi disebabkan Omicron pemulihan perniagaan Genting mungkin mengambil masa," katanya dalam nota penyelidikan.

Chi Hoong berkata, walaupun Singapura pada masa ini memiliki perjanjian gelembung perjalanan udara dengan lebih 23 negara, langkah baharu yang diperkenalkan untuk membendung penularan Omicron berkemungkinan menjejaskan kemasukan pelancong.

"Justeru, prestasi anak syarikat Genting iaitu Genting Singapore juga mungkin akan terjejas. Ini kerana Genting Singapore yang menyumbang 57 peratus daripada keuntungan syarikat induk pada 2019 sangat bergantung kepada pelancong asing.

"Walaupun Singapura mula mengalu-alukan 'kepulangan' pelancong menerusi pengaturan gelembung perjalanan, kebanyakan lawatan untuk Genting Singapore masih bergantung kepada penduduk tempatan sejak Mac 2020.

"Oleh itu, purata pendapatan setiap suku tahun sejak pembukaan semula operasi Genting Singapore kekal tidak berubah pada sekitar S$293 juta (RM905.6 juta) iaitu hanya 45 peratus daripada perolehan sebelum COVID-19. Pada 2019/20, Genting Singapore menjana sekitar S$627 juta (RM1.94 bilion)," katanya.

Beliau menjelaskan, untuk memacu pemulihan dalam industri pelancongannya, Singapura kini menguruskan gelembung perjalanan udara dengan 23 negara melalui Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), di mana pelancong negara asal menyumbang 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong pada 2018.

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa penambahan pelancong dari pengurusan semasa adalah terhad disebabkan ketersediaan penerbangan yang terhad dan langkah tambahan yang diperlukan untuk memasuki Singapura.

"Kesimpulannya, kami hanya menjangkakan aliran masuk pelancongan antarabangsa yang positif menjelang akhir 2022, dengan mengandaikan tiada varian baharu yang serupa dengan Omicron," katanya.

Berita Harian X