Isnin, 6 September 2021 | 11:46am
Public Bank
Public Bank

Public Bank sasar perluas khidmat PBe QR ke ASEAN

KUALA LUMPUR: Public Bank, yang menjadi bank pertama di Malaysia membenarkan pembayaran merentas sempadan DuitNow QR ke Thailand, bercadang memperluaskan lagi perkhidmatan PBe QR ke negara ASEAN lain.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, tumpuan utama Public Bank adalah untuk menggalakkan penyertaan kewangan yang lebih luas dengan membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai lebih banyak pilihan untuk

menerima pembayaran daripada pelancong asing apabila sempadan dibuka semula.

"Perkhidmatan PBe QR, selain DuitNow QR domestik yang ada akan menjadi pemangkin kepada perkhidmatan berkenaan, menyediakan penyelesaian yang mudah, efektif kos dan selamat untuk PMKS menerima pembayaran tanpa tunai," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Public Bank akan terus mengadakan kerjasama erat dengan Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

"Kami menyokong usaha negara ke arah pendigitalan pelbagai

perkhidmatan perbankan dan pengwujudan masyarakat yang inklusif dari segi kewangan

"Dengan meningkatnya penggunaan telefon pintar untuk urusan perbankan, kami semakin menghampiri matlamat itu dan akan terus memberi perkhidmatan paling cekap dan mudah kepada pelanggan," katanya.

Peniaga boleh mendaftar untuk perkhidmatan PBe QR itu dengan mendaftar di laman web Public Bank atau mengunjungi mana-mana cawangan untuk bantuan.

Sebagai usaha untuk menggalakkan e-pembayaran, Public Bank mengecualikan fi memperoleh urus niaga bagi pembayaran DuitNow QR sehingga 31 Disember 2022.

Berita Harian X