Rabu, 4 Ogos 2021 | 2:24pm
Syarikat fintech Asia Tenggara, Fave
Syarikat fintech Asia Tenggara, Fave

Fave mula guna kod QR DuitNow

KUALA LUMPUR: Fave, syarikat teknologi kewangan (fintech) Asia Tenggara, memperkenalkan perkhidmatan kod QR DuitNow bagi memacu pembayaran tanpa tunai di Malaysia.

Pengasas Fave, Joel Neoh, berkata pengenalan DuitNow QR FavePay akan membolehkan pelanggan menggunakan satu kod QR bagi pembayaran menerusi aplikasi Fave atau e-dompet serta aplikasi perbankan mudah alih yang lain.

Beliau berkata, pembayaran mudah alih berasaskan QR bukan saja menjadi pilihan, malah dianggap sebagai alternatif untuk memperoleh wang tunai di Malaysia.

Justeru, katanya, pengenalan kod QR DuitNow adalah tonggak penting Fave bagi meningkatkan keselesaan peniaga.

Ia, katanya bertujuan memudahkan landskap pembayaran mudah alih di samping membolehkan peniaga memperoleh akses ke 32 peserta bank dan e-dompet, serta mencegah kesesakan kod QR di kaunter pembayaran.

"Langkah ini bukan hanya menggalakkan pedagang untuk menerima bayaran merentasi pelbagai saluran, bahkan menaik taraf pengesahan dan penyatuan masa sebenar dengan platform FaveBiz," katanya dalam satu kenyataan.

Neoh berkata, Malaysia merekodkan lonjakan transaksi tanpa tunai dan peluang penerimaan pembayaran yang lebih besar di seluruh negara.

"Fave berbangga menjadi antara peserta bukan bank yang paling awal menerapkan kod QR DuitNow.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi meningkatkan landskap e-pembayaran di Malaysia serta menyokong peralihan digital peniaga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Pembayaran Runcit PayNet, Khairuan Abdul Rahman, berkata situasi terkini disebabkan pandemik COVID-19 secara tidak langsung memacu penerimaan pembayaran tanpa tunai serta pembayaran kod QR.

Beliau berkata, penyertaan Fave dalam ekosistem DuitNow QR ini akan melengkapkan dan mengembangkan lagi rangkaian pilihan sedia ada untuk pengguna akhir.

Tabiat pengguna, katanya, berubah seiring dengan teknologi, malah berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), majoriti rakyat menggunakan telefon pintar dengan pengguna internet mencapai jumlah setinggi 88.7 peratus pada 2020, lonjakan 1.3 peratus berbanding 2018.

"Transaksi tanpa sentuhan juga diunjurkan akan meningkat tiga kali ganda di Malaysia dalam beberapa tahun akan datang seiring penyertaan Fave dalam ekosistem DuitNow QR.

"Inisiatif MyDigital yang merangkumi Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem digital.

"Ia akan memacu masyarakat ke arah transaksi 100 peratus tanpa tunai menjelang 2030. Di samping itu, inisiatif ini turut merintis jalan bagi 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk beralih ke platform digital," katanya.

Berita Harian X