Selasa, 23 Februari 2021 | 4:45pm
Pengarah Urusan Teladan Setia Group Bhd, Richard Teo Lay Ban
Pengarah Urusan Teladan Setia Group Bhd, Richard Teo Lay Ban

IPO Teladan Setia dijangka jana RM77.3 juta

KUALA LUMPUR: Teladan Setia Group Bhd (Teladan Setia), pemaju hartanah yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) pada 16 Mac ini menyasar untuk meraih dana RM77.3 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Jumlah berkenaan bakal dijana menerusi tawaran 161.1 juta saham dengan harga IPO pada 48 sen sesaham.

Pengarah Urusan Teladan Setia, Richard Teo Lay Ban, berkata daripada jumlah berkenaan, syarikat akan memperuntukkan sebanyak RM35 juta atau 45.3 peratus akan digunakan bagi pembelian tanah di Melaka.

Beliau berkata, RM33.1 juta (42.8 peratus) lagi akan diperuntukkan untuk modal kerja bagi projek pembangunan; RM4 juta (5.2 peratus) pembayaran balik pinjaman bank dan RM5.2 juta (6.7 peratus) perbelanjaan penyenaraian.

Tawaran IPO Teladan Setia, katanya, membabitkan terbitan awam sebanyak 161.1 juta saham baharu yang mewakili 20 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesar, bersama dengan tawaran jualan 40.8 juta saham sedia ada.

Katanya, terbitan awam sebanyak 161.1 juta saham baharu terdiri daripada 40.3 juta saham baharu untuk orang awam dan 10.5 juta saham baharu lagi diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan mereka yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

"Selepas disenaraikan, Teladan Setia akan memiliki permodalan pasaran RM386.5 juta berdasarkan harga terbitan 48 sen dan modal sahamnya yang diperbesar sebanyak 805.3 juta saham.

"Kumpulan yakin penyenaraian ini akan membolehkan kami memperkukuhkan kedudukan dalam industri dengan memperoleh akses ke pasaran modal yang boleh mendorong rancangan pengembangan kami," katanya selepas pelancaran prospektus Teladan Setia secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Lay Ban berkata, kumpulan optimis terhadap prospek pertumbuhan syarikat berdasarkan kepada industri hartanah di Melaka dengan disokong oleh asas jangka panjang yang kukuh.

Beliau berkata, Teladan Setia juga dalam proses memperoleh enam bidang tanah berkeluasan 58.76 hektar pada harga RM39.4 juta di Melaka.

Tanah ini, katanya, bersama dengan pengambilalihan tanah yang akan dilaksanakan daripada dana IPO akan meningkatkan lagi simpanan tanahnya bagi pembangunan masa hadapan, yang mana ia kini memiliki simpanan sekitar 29.9 hektar dengan kebanyakannya terletak di Melaka.

"Industri hartanah akan kembali rancak berdasarkan kepada pengenalan semula program Kempen Pemilikan Rumah (HOC), persekitaran kadar faedah yang rendah serta perancangan projek pembangunan yang menarik dan mengikut kehendak pembeli.

"Projek hartanah kami juga yang sedang dalam pembelian dan bakal dibina turut memberikan impak kepada syarikat dengan anggaran GDV masing-masing sebanyak RM623.0 juta dan RM995.2 juta," katanya.

Berita Harian X