Selasa, 9 Februari 2021 | 6:26pm
Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS - Foto Bloomberg
Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS - Foto Bloomberg

PETRONAS, JERA jalin kerjasama tenaga rendah karbon

KUALA LUMPUR: PETRONAS menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penjanaan tenaga terbesar Jepun, JERA Co Inc (JERA) dalam pelbagai inisiatif tenaga rendah karbon meliputi gas asli cecair (LNG), amonia dan hidrogen bagi mempertingkatkan kehidupan masa depan yang lestari.

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan kerjasama strategik itu diadakan secara maya dihadiri Naib Presiden Eksekutif PETRONAS, Gas & Tenaga Baharu, Adnan Zainal Abidin dan Naib Presiden Korporat & Ketua Pegawai Operasi, Jabatan Pembangunan Perniagaan JERA, Yukio Kani.

"Kami berbangga dapat meningkatkan hubungan selama empat dekad dengan JERA yang bukan saja memperlihatkan kami meneroka sumber tenaga rendah karbon seperti amonia dan hidrogen tetapi juga untuk memperkukuhkan perkongsian LNG kami.

"Yang penting, ruang lingkup kerjasama juga membuka peluang merentasi rantaian nilai bersepadu PETRONAS dan di luar sempadan Jepun kerana kami berusaha untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga rendah karbon di seluruh dunia," kata Adnan dalam satu kenyataan.

Pemeteraian MoU antara PETRONAS dan JERA adalah hasil visi bersama kedua-dua syarikat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

Pada November 2020, PETRONAS mengumumkan hasratnya untuk mencapai 'Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050' sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya terhadap kelestarian dan mengembangkan perniagaan dengan cara yang memberikan sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Pada waktu yang sama, JERA juga menubuhkan 'JERA Zero CO2 Emission 2050' pada Oktober lalu, yang dipandu oleh kemajuan teknologi dekarbonisasi, rasionalisasi ekonomi, dan sejajar dengan dasar kerajaan Jepun.

Sebagai sebahagian perjalanan pelepasan sifar bersih JERA, syarikat itu akan meninjau untuk menutup penjana arang batu yang tidak cekap di Jepun menjelang 2030, secara beransur-ansur meningkatkan pembakaran campuran bahan bakar fosil, amonia dan hidrogen di loji jana kuasa termal dan menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Berdasarkan MoU itu, PETRONAS dan JERA akan meningkatkan kerjasama dalam rantaian bekalan untuk bahan bakar amonia dan hidrogen sambil terus menggalakkan penggunaan LNG.

PETRONAS kini sudah menghasilkan hidrogen biru sebagai produk sampingan dari kemudahannya dan akan meneroka pengeluaran komersial hidrogen hijau dalam masa terdekat.

Dengan kelebihan geografi, memperluas portfolio boleh diperbaharui, perkongsian kukuh dengan pelanggan serta fokus berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi elektrolyser, PETRONAS bersedia menjadi penyedia penyelesaian hidrogen rendah karbon dan hijau yang kompetitif.

Dalam bidang LNG pula, PETRONAS dan JERA akan bekerjasama untuk mengembangkan penggunaan gas asli sebagai bahan bakar marin yang lebih bersih melalui penyelesaian bunker LNG, bagi menyokong peraturan Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) mengenai pelepasan gas rumah hijau.

PETRONAS dan JERA akan meneroka penubuhan rangkaian bekalan bunker global, memanfaatkan pengalaman kedua-dua syarikat dalam bunker LNG.

November lalu, PETRONAS menyelesaikan operasi bunker LNG sulung di Pasir Gudang, sementara JERA menyelesaikan operasi bunker LNG pertamanya di Jepun pada Oktober 2020.

Berita Harian X