Jumaat, 5 Februari 2021 | 4:05pm
(Gambar fail) - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
(Gambar fail) - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Malaysia Airlines raih anugerah Putra Brand Icon

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd dianugerahkan Putra Brand Icon 2020 dan Anugerah Platinum bagi kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan pada Anugerah Putra Brand 2020 pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia memenangi anugerah Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan untuk lima tahun berturut-turut sejak 2016 dan kemenangan terbaharu ini telah mengesahkan kedudukannya sebagai jenama yang paling dipercayai bagi perjalanan merentasi rantau ini, dengan menawarkan perkhidmatan terkemuka dan pengalaman pelanggan kepada semua.

Katanya Anugerah istimewa Putra Brand Icon diberikan kepada jenama yang cemerlang secara konsisten dengan memenangi Emas bagi kategori masing-masing empat tahun berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kapten Izham Ismail berkata anugerah itu adalah yang paling istimewa tahun ini berikutan 2020 yang mencabar yang mana industri perjalanan berdepan perubahan dan inovasi yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam menghadapi pandemik yang terjadi sekali seumur hidup.

"Kemenangan ini menandakan dan meningkatkan pendirian kami dalam memastikan kami menempatkan pelanggan kami sebagai keutamaan dalam semua pembuatan keputusan, membuat dan membuka jalan bagi kami untuk memberikan pengalaman peribadi premium kepada pelanggan kami tanpa menjejaskan keselamatan mereka.

"Syarikat penerbangan ini akan terus menghubungkan pelanggan pada masa-masa getir ini sambil memastikan kami melakukan yang terbaik untuk memastikan perjalanan yang selamat bagi mereka seiring dengan kempen Fly Confidently kami," katanya.

– Bernama

Berita Harian X