Selasa, 26 Januari 2021 | 1:45pm
Perkhidmatan penghantaran makanan airasia food
Perkhidmatan penghantaran makanan airasia food

Potensi airasia food jadi jenama terkemuka ASEAN

KUALA LUMPUR: Airasia food menyasar untuk menjadi syarikat penghantaran makanan utama di seluruh ASEAN dengan Malaysia menjadi perintis perkhidmatan yang semakin mendapat perhatian ramai khususnya dalam norma baharu susulan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata pencapaian sasaran itu akan disokong dari segi aspek rangkaian kukuh yang sudah dimiliki kumpulan AirAsia di rantau Asia, sekali gus dijangka dapat membantu perkembangan dan pertumbuhan airasia food untuk berkembang.

Katanya, syarikat penerbangan tambang rendah itu kini dalam proses mentransformasikan pendigitalan kumpulan menerusi aplikasi super, airasia.com dan langkah itu dilihat lebih pantas daripada jangkaan susulan COVID-19.

"AirAsia mempunyai infrastruktur logistik dan teknologi yang mampu menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan mudah, lancar dan dengan harga yang berpatutan.

"Justeru, kami memanfaatkan kemudahan sedia ada untuk meneroka segmen penghantaran makanan sekali gus membuka peluang pekerjaan dan membantu pengusaha makanan," katanya pada temu bual eksklusif secara maya bersama BH, baru-baru ini.

Mengulas mengenai pasaran Malaysia, Riad berkata, airasia food yakin pasaran Malaysia masih memiliki potensi yang besar untuk cabang perniagaan penghantaran makanan berkembang dan menjadi antara peserta utama pada peringkat domestik.

Beliau berkata, pasaran penghantaran di negara ini masih besar, lebih-lebih lagi ketika Malaysia seperti negara lain masih berdepan cabaran COVID-19 yang mencetuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dengan hanya dua peserta dominan dalam segmen penghantaran makanan di negara ini, ia membuka ruang kepada airasia food menapak dan berkembang selaras keperluan pasaran yang kini berada dalam norma baharu kehidupan.

"Peluang masih besar untuk kami meneroka pasaran domestik dan airasia food benar-benar serius dalam mengembangkan perniagaan ini serta membantu lebih ramai penghantar atau kami gelarkan mereka sebagai teleporter.

"Masih ada ruang (peluang pasaran) sebab itulah ketika ini wujud pelbagai jenama kecil untuk mengisi kekosongan yang diperlukan kebanyakan rakyat Malaysia.

"Sebagai permulaan, kami akan mengembangkan liputan di sekitar Lembah Klang sebelum meneroka pasaran ke bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuching dan Miri tahun ini," katanya.

Airasia food ditubuhkan pada Julai 2020 kini memiliki lebih 1,500 teleporter yang menawarkan perkhidmatan untuk 1,200 restoran di sekitar Lembah Klang.

Riad berkata, pihaknya menawarkan insentif kompetitif untuk menjadi teleporter dan peluang pekerjaan itu terbuka kepada mereka yang mempunyai motosikal atau kereta.

Justeru, katanya, platform itu sedang mencari lebih ramai teleporter dan restoran untuk menjadi sebahagian daripada pelan pengembangan liputan.

"Komisen yang dikenakan kepada restoran adalah 10 peratus, jauh lebih rendah berbanding jenama lain yang mencecah sehingga 35 peratus. Ia membolehkan lebih banyak restoran bekerjasama dengan kami untuk meluaskan capaian produk mereka.

"Anggaran pendapatan yang diterima teleporter antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan dan ada antara mereka boleh mendapat sehingga RM150 sehari (dalam tempoh lapan jam).

"Kami juga mempelawa semua pengusaha restoran untuk menyertai airasia food dan terdapat peniaga kami berjaya meningkatkan jualan mereka 500 kali ganda dalam masa tiga bulan menggunakan platform ini.

"Malah, kami juga menawarkan pelanggan mata ganjaran AirAsia, Big Point menggunakan mata untuk membeli makanan," katanya.

Beliau berkata, airasia food memiliki asas yang kukuh untuk terus berkembang bersandarkan keupayaan aplikasi super airasia.com yang memiliki jutaan pelanggan.

"Untuk menggunakan perkhidmatan airasia food, pelanggan perlu melayari airasia.com di mana aplikasi super ini menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pembelian tiket penerbangan. Justeru, kita memiliki banyak kelebihan dengan sokongan padu rangkaian AirAsia," katanya.

Sepanjang PKP 2.0, airasia food menawarkan penghantaran percuma bagi jarak 15 kilometer.

Airasia.com menerusi cabang logistiknya, Teleport menawarkan pelbagai perkhidmatan penghantaran termasuk airasia food iaitu Airasia Shop untuk pelbagai produk lain dan Airasia Fresh bagi barangan keperluan basah.

Berita Harian X