Khamis, 7 Januari 2021 | 5:57pm
Menteri KPDNHEP, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi (tengah) dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua kiri) melihat produk segar di kedai Mesra pada Majlis Pelancaran Program Segar@Mesra dekat Kajang, hari ini
Menteri KPDNHEP, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi (tengah) dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua kiri) melihat produk segar di kedai Mesra pada Majlis Pelancaran Program Segar@Mesra dekat Kajang, hari ini

Produk sejuk beku harga patut di stesen PETRONAS

KAJANG: Petronas Dagangan Bhd (PDB) memperkenalkan Segar@Mesra, yang menawarkan produk sejuk beku dengan harga berpatutan bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani, berkata Segar@Mesra adalah program terbaharu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau berkata, program daripada pengeluar kepada pengguna ini bertujuan membantu pengeluar, petani dan penternak untuk meningkatkan hasil pendapatan dengan memasarkan secara terus di Kedai Mesra PETRONAS.

"Bagi fasa percubaan ini, Segar@Mesra akan berada di empat stesen minyak PETRONAS di Unikeb 2, Bandar Baru Bangi; Persiaran Jaya Sungai Ramal Dalam; Prima Saujana 2, Kajang dan Pelangi Semenyih.

"Kami akan lihat bagaimana sambutan daripada pelanggan terlebih dulu sebelum memperluaskannya ke lebih 750 rangkaian Kedai Mesra.

"Fokus utama Segar@Mesra adalah membantu golongan B40 dan M40 dalam mendapatkan produk sejuk beku seperti ayam, ikan, daging, buah dan sayuran pada harga yang rendah.

"Ketika ini Segar@Mesra mempunyai sekitar 50 produk keluaran tempatan," katanya selepas majlis perasmian Segar@Mesra di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut, Azrul berkata, PETRONAS sentiasa komited membawa impak sosial sebagai sebahagian daripada agenda kemampanan kumpulan.

Beliau berkata, program terbaharu ini juga sejajar dengan fokus memperluaskan penyelesaian makanan dan minuman kepada pelanggan seiring dengan pengembangan perniagaan PDB di seluruh negara.

Katanya, bagi menggalakkan sokongan kepada Segar@Mesra, 10,000 pelanggan terawal berpeluang menerima pulangan tunai RM2 apabila membuat pembelian barangan Segar@Mesra minimum RM20 melalui aplikasi Setel.

Ditanya jika Segar@Mesra bakal memberi sumbangan pendapatan baharu kepada PDB, Azrul berkata ketika ini peratusan daripada program itu masih rendah.

"Ketika ini sumbangannya masih kecil tetapi kita tidak dapat menolak kemungkinan jika Segar@Mesra bakal menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan.

"Ia bergantung kepada permintaan pelanggan. Produk Segar@Mesra juga masih belum muktamad sepenuhnya. Jika ada produk yang tidak mendapat permintaan tinggi, kita akan gantikan dengan produk lain.

"Kehendak pelanggan adalah keutamaan kami termasuk juga KPDNHEP dan MAFI," katanya.

Berita Harian X