Rabu, 30 Disember 2020 | 5:07pm
Ketua Pegawai Penyampaian Prestasi dan Komersial UEM Sunrise, Anuar Kasim (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee
Ketua Pegawai Penyampaian Prestasi dan Komersial UEM Sunrise, Anuar Kasim (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee

UEM Sunrise jual plot perindustrian di Iskandar Puteri

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) memeterai perjanjian dengan AME Elite Consortium Bhd (AME) bagi penjualan 72 plot perindustrian pegangan bebas berkeluasan 63.7 hektar di Iskandar Puteri, Johor.

Plot perindustrian yang terletak dalam fasa ketiga Perindustrian dan Logistik Selatan (SiLC) itu dijual pada harga RM434.3 juta.

Penjualan plot perindustrian itu membolehkan AME membangunkan taman perindustrian bersepadu di situ.

UEM Sunrise memeterai perjanjian itu dengan anak syarikat AME, Pentagon Land Sdn Bhd dan Greenhill SILC Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Penyampaian Prestasi dan Komersial UEM Sunrise, Anuar Kasim, berkata penjualan itu akan menjadi titik permulaan kerjasama strategik antara pihaknya, yang juga pemilik tanah dan pemaju utama Iskandar Puteri dengan AME, syarikat pembinaan perindustrian.

"Kami yakin kerjasama ini akan menjadi pemangkin untuk Pelan Induk Pembangunan Iskandar Puteri, terutama dalam mempercepat pertumbuhan dan pengembangan SiLC. 

"Ini akan memberi impak positif kepada bandar Iskandar Puteri yang berkembang pesat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekitar.

"Kerjasama ini juga akan mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan baru di negeri ini. Selain itu, ia membantu mempromosikan persekitaran ekonomi yang kondusif dalam memacu permintaan untuk produk hartatanah UEM Sunrise di Selatan Semenanjung, " katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penjualan itu dijangka bakal menyumbang kepada pendapatan UEM Sunrise untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Katanya, hasil pendapatan akan digunakan untuk langkah strategik kumpulan seperti pemilikan simpanan tanah yang baharu.

"Setelah berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik COVID-19 pada tahun ini, langkah penjualan ini adalah salah satu kejayaan utama kumpulan.

"Ia akan memberi pertumbuhan positif serta manfaat jangka masa panjang untuk UEM Sunrise dan AME," katanya.

Antara perkembangan pemangkin di bawah Pelan Induk Pembangunan Iskandar Puteri adalah pembangunan taman perindustrian bersepadu, di mana SiLC akan membentuk komponen penting.

Fasa 1 dan 2 SiLC sudah habis terjual.

Kerjasama dengan AME akan memungkinkan penyiapan Fasa 3 dengan lebih cepat.

AME juga menyatakan komitmennya melalui perjanjian untuk memperoleh keseluruhan baki plot industri di SiLC Fasa 3.

Berita Harian X