Khamis, 24 Disember 2020 | 1:34pm
Yinson Holdings Bhd
Yinson Holdings Bhd

Yinson selesai ambil alih firma India

KUALA LUMPUR: Yinson Renewables (S) Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Yinson Holdings Bhd (Yinson) menyelesaikan pengambilalihan tambahan sebanyak 57.5 peratus kepentingan ekuiti dalam Rising Sun Energy Pte Ltd (RSE).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Yinson berkata RSE adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di India dengan dua loji solar beroperasi di Bhadla Solar Park, Rajasthan, India.

Katanya, syarikat sudah mengambil alih 37.5 peratus kepentingan dalam RSE pada Mac lalu.

"Dengan selesainya transaksi terkini ini, Yinson kini memegang kepentingan sebanyak 95 peratus.

"Oleh itu, syarikat akan turut menjadikan RSE sebagai anak syarikat dalam penyata kewangannya," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Tenaga Boleh Diperbaharui Yinson, David Brunt, berkata pengambilalihan itu menawarkan platform yang kukuh untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui syarikat di India.

"Pasukan RSE yang dinamik akan menjadi tambahan yang baik kepada pasukan Yinson dan India adalah pasaran utama kami, dengan asas kukuh menyokong potensi pasaran.

"Bersama dengan peluang yang dicapai dalam beberapa pasaran lain, ini memberi kami asas yang kukuh untuk mengembangkan perniagaan dan membina pelbagai projek baharu serta lebih matang," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X