Isnin, 30 November 2020 | 11:02pm
Peruncit pakaian Britain, Arcadia memiliki rangkaian Topshop, Topman, Dorothy Perkins, Burton, Miss Selfridge, Evans dan Wallis - Foto AFP
Peruncit pakaian Britain, Arcadia memiliki rangkaian Topshop, Topman, Dorothy Perkins, Burton, Miss Selfridge, Evans dan Wallis - Foto AFP

Pemilik gedung Topshop, Dorothy Perkins hampir muflis

LONDON: Peruncit pakaian Britain, Arcadia yang terkesan oleh sekatan COVID-19 dan persaingan sengit dalam talian, semakin hampir muflis walaupun terdapat tawaran pinjaman kecemasan, demikian menurut laporan BBC.

Pemilik rangkaian fesyen terkemuka termasuk Topshop, Topman, Dorothy Perkins, Burton, Miss Selfridge, Evans dan Wallis itu akan melaksanakan proses pentadbiran dalam masa 'beberapa jam' lagi, lapor BBC memetik sumber syarikat, langkah yang akan menjejaskan kira-kira 13,000 pekerjaan.

Kegagalan itu akan memberikan satu lagi tamparan kepada ketua Arcadia, Philip Green, yang reputasinya sudah pun terjejas daripada keruntuhan berprofil tinggi peruncit BHS empat tahun lalu.

Frasers Group milik hartawan pakaian sukan Britain, Mike Ashley bagaimanapun mengesahkan ia menawarkan pinjaman £50 juta untuk membantu Arcadia mengelak daripada muflis.

Sumber bagaimanapun memberitahu BBC bahawa mereka tidak menjangkakan urus niaga menyelamat daripada Ashley, yang turut memiliki kelab bola sepak Newcastle United dan memberi rangkaian gedung bermasalah, House of Fraser pada 2018.

"Frasers Group dalam laporan media baru-baru ini menjelaskan kebimbangan potensi peruntukan dana kecemasan oleh syarikat itu kepada Arcadia Group," kata Frasers dalam satu kenyataan.

-AFP

Berita Harian X