Khamis, 26 November 2020 | 9:57pm

Bina Puri raih kontrak HSR Thailand

BANGKOK: Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri), menerusi syarikat usaha samanya, SPTK Joint Venture Co Ltd (SPTK JV) memeterai pakej kontrak dengan State Railway of Thailand (SRT) membabitkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Bangkok ke Nakhon Ratchasima.

Anak syarikat milik penuh Bina Puri, Bina Puri Sdn Bhd (BPSB) serta NPA Construction Co Ltd dan Tim Sekata Sdn Bhd memenangi bidaan bagi pakej bernilai 7.75 bilion baht (RM1.036 bilion) bagi bahagian Khok Kruat–Nakhon Ratchasima di bawah fasa pertama bahagian Bangkok-Nakhon Ratchasima.

Kontrak itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SPTK JV, Attasith Damrongrat dan Pengarah Eksekutif Bina Puri Holdings (Thailand) Ltd, Leong Keh Soon bagi pihak SPTK JV, manakala SRT diwakili oleh gabenornya, Nirut Maneephan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Chayatham Phromsorn, menyaksikan majlis pemeteraian itu yang diadakan di kementerian berkenaan di Bangkok.

Hadir sama Pengarah Urusan NPA Construction Co Ltd Dittapol Damrongrat, Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Norman Dzulkarnain Nasri dan Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC), Dr Hwee Khim Boo.

Kerja-kerja sivil untuk fasa pertama bahagian Bangkok-Nakhon Ratchasima membabitkan 14 kontrak. Majlis pemeteraian hari ini membabitkan lima kontrak bagi kerja-kerja sivil.

Sementara itu, Attasith berkata, SPTK JV yakin berupaya menyiapkan projek itu mengikut masa ditetapkan.

"Kami mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan sub-kontraktor untuk menyelesaikan projek ini. Kami juga mempunyai jurutera untuk memantau projek ini pada setiap bulan," katanya.

Projek HSR Bangkok-Nong Khai mempunyai dua fasa dengan pembinaan bahagian Bangkok-Nakhon Ratchasima (fasa pertama) akan membabitkan landasan kereta api sepanjang 250.77 kilometer (km) dengan anggaran kos pembinaan sebanyak 179.41 bilion baht (RM24.1 bilion) manakala fasa kedua pula dengan pembinaan landasan sepanjang 356.10 km bagi bahagian Nakhon Ratchasima-Nong Khai.

Bina Puri meneroka pasaran Thailand untuk kali pertama pada 2003 apabila menerima kontrak membina akses jalan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok yang bernilai melebihi RM180 juta.

-- BERNAMA

Berita Harian X