Rabu, 18 November 2020 | 7:09pm
PENGERUSI Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid.
PENGERUSI Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid.

Media Prima catat untung bersih RM11.8 juta pada suku ketiga

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM11.8 juta pada suku ketiga 2020 berbanding kerugian selepas cukai (LAT) RM25.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Kumpulan media bersepadu itu dalam satu kenyataan berkata, pendapatan turut meningkat satu peratus kepada RM268.8 juta berbanding RM265.5 juta pada suku sama 2019 walaupun kumpulan berdepan landskap ekonomi yang lebih sukar disebabkan pandemik COVID-19.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2020 katanya, pendapatan kumpulan berjaya dipertahankan dan hanya menyusut sebanyak tujuh peratus kepada RM743.5 juta berbanding RM801.4 juta tempoh sama pada 2019.

"LAT berkurang sebanyak 54 peratus kepada RM36.2 juta pada sembilan bulan 2020 berbanding kerugian sebanyak RM79.2 juta bagi tempoh perbandingan.

"Inisiatif transformasi perniagaan Media Prima yang sedang dilaksanakan membabitkan kajian semula model pendapatan, mengurangkan ketidakcekapan kos, dan penyatuan aset bagi mengukuhkan fokus setiap platform.

"Jenama digital dan perdagangan telah disatukan di bawah REV Media Group dan WOWSHOP, dengan matlamat untuk mencapai sinergi dan untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya," katanya.

Media Prima berkata, bagi tempoh sembilan dikaji, REV Media Group mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 14 peratus kepada RM60.6 juta berbanding RM53.2 juta.

REV Media Group katanya terus menambah pelaburan dalam segmen e-sukan melalui Squad Up, iaitu kejohanan PUBG mobile yang dihoskan melalui usahasama dengan YouTube Malaysia dan juga ditaja oleh McDonald's dan Samsung.

Segmen beli belah di rumah kumpulan juga baru-baru ini melancarkan identiti jenama baru - WOWSHOP Sdn Bhd (WOWSHOP), susulan pengambilalihan sepenuhnya perniagaan tersebut.

WOWSHOP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.5 juta bagi sembilan bulan pertama ini dan peningkatan pendapatan sebanyak 36 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Sehingga kini, WOWSHOP telah merekodkan lebih 2.3 juta pelanggan manakala platform e-dagang dan perdagangan mudah alih  menyumbang lebih 53 peratus kepada jumlah jualannya untuk tempoh sembilan bulan tahun ini.

"Kejayaan WOWSHOP ini didorong oleh pencapaian Rangkaian Televisyen Media Prima yang menguasai 36 peratus pasaran penonton, yang diterajui TV3 dengan sejumlah 24 peratus pasaran penonton di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kumpulan telah membuat beberapa keputusan strategik bagi memacu fasa tranformasi perniagaan.

Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan cabaran semasa pandemik, populariti WOWSHOP telah membantu kumpulan untuk berjaya seperti pencapaian yang dicatatkannya pada suku ini.

"Pencapaian WOWSHOP yang mantap mengesahkan lagi keputusan kami untuk memiliki sepenuhnya perniagaan berkenaan.

 

"Ia juga mengesahkan betapa pentingnya Media Prima kepada pelanggan kami semasa pandemik COVID-19, bukan sahaja untuk keperluan perdagangan malahan sebagai sumber untuk hiburan dan berita penting pada masa kita menjalani kehidupan norma baru.

"Ini dapat dilihat melalui peningkatan penonton televisyen dan pengguna di keseluruhan jenama digital kami," katanya.

Syed Hussian berkata, kumpulan menjangkakan kesan ekonomi akibat pandemik ini akan berterusan dan akan terus berusaha menerokai penyelesaian jangka panjang bagi mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran, di samping menyesuaikan perniagaan dan operasi kami dengan normal baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, pula berkata impak pandemik COVID-19 dan seterusnya perintah kawalan pergerakan telah memberi kesan kepada perniagaan, terutamanya perolehan periklanan, produksi dan ketersediaan bekalan kandungan.

Beliau berkata, pihaknya berbangga dengan pasukan Media Prima yang telah bersama-sama tampil dengan semangat kental untuk mencari kaedah yang kreatif dan berfikir di luar kotak bagi meneruskan operasi perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

"Disebabkan usaha gigih mereka ini, Kumpulan berjaya untuk terus menyampai, memberi ilham, mengajar dan menghiburkan rakyat Malaysia semasa pandemik tanpa menjejaskan kualiti kandungan yang dipersembahkan.

 

"Walaupun ini adalah masa yang amat sukar, ia juga peringatan terhadap kewajipan kami kepada rakyat Malaysia sebagai kumpulan media bersepadu terbesar.

"Dengan skala kami, Media Prima berupaya membawa perubahan besar dan kesan positif kepada kehidupan mereka," katanya.

Berita Harian X