Rabu, 4 November 2020 | 3:51pm
Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Lim Yew Hoe - Foto fail NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Lim Yew Hoe - Foto fail NSTP

F&N tumpu usaha tambah baik produk, pendigitalan

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) akan terus memberikan tumpuan kepada usaha penambahbaikan dan pendigitalan, selain mengenal pasti peluang untuk membina perniagaan yang kukuh serta mampan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata usaha itu akan dilaksanakan menerusi pelaburan berterusan dalam perbelanjaan modal dan jenama, meskipun ia kekal kekal berhati-hati berikutan pandemik COVID-19 selain ketidaktentuan di peringkat dalaman dan global.

Berikutan itu juga, beliau berkata F&N tidak mempunyai perancangan untuk memperkenalkan produk baharu tahun depan, sebaliknya memperkukuhkan produk yang baru dilancarkan tahun ini terlebih dulu, yang mana terdapat 10 produk baharu di pasaran Malaysia dan Thailand.

"Pada awal tahun ini, kami telah melancarkan produk minuman botol Teh Tarik yang kemudiannya terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru, untuk 2021, kami tidak berhasrat untuk melancarkan lebih banyak produk, sebaliknya mahu memperkukuhkan produk yang dilancarkan pada tahun ini dengan memastikan ia akan diterima dengan baik oleh pengguna pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media maya mengenai prestasi kewangan tahun 2020 berakhir 31 September 2020, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Kewangannya, Lai Kah Shen dan Pengarah Pemasarannya, Graham Lim.

F&N mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku keempat berakhir 30 September 2020 kepada RM85.8 juta berbanding RM68 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Perolehannya bagaimanapun susut kepada RM953.69 juta bagi suku berkenaan daripada RM975.08 juta pada suku keempat 2019.

Sementara itu, Lim berkata, jualan dalam talian ketika ini hanya menyumbang hampir RM5 juta kepada keseluruhan jualan syarikat itu sejak mula memperkenalkan platform aplikasi e-dagangnya, F&N Life awal tahun ini.

Katanya, setakat ini aplikasi itu telah dimuat turun lebih 20,000 pengguna dan F&N sedang giat meningkatkan bilangan pengguna di platform e-dagang tahun depan.

Berita Harian X