Selasa, 3 November 2020 | 8:52pm
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)

F&N catat untung bersih lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku keempat berakhir 30 September 2020 kepada RM85.8 juta berbanding RM68 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Perolehannya bagaimanapun susut kepada RM953.7 juta bagi suku berkenaan daripada RM975.1 juta pada suku keempat 2019, demikian menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia.

"Walaupun di tengah-tengah pelaksanaan langkah-langkah pembendungan COVID-19 secara berterusan serta kekurangan aktiviti-aktiviti luar, F&N sebaliknya mencatat prestasi (kewangan) baik bagi suku keempat 2020, didorong oleh eksport dan jualan domestik yang stabil serta penguncupan kecil dari segi perolehan," kata syarikat itu dalam kenyataan berasingan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata prestasi syarikat tahun ini dipacu oleh usaha berterusan untuk mengetengahkan produk inovatif menerusi pelaksanaan operasi yang berkesan bagi memenuhi jangkaan pengguna sepanjang tahun walaupun berdepan keadaan mencabar.

"Di Malaysia, kami bertindak mempercepatkan strategi e-dagang untuk memudahkan pelanggan mendapat akses terhadap produk-produk syarikat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Di Thailand pula kami merebut peluang yang ada dengan membangunkan aspek kesetiaan serta meningkatkan jualan dalam kalangan pelanggan penjaja di pasaran domestik serta di Kemboja dan Laos," katanya.

Mengulas prospek, Yew Hoe berkata, syarikat itu kekal berhati-hati berikutan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan di peringkat dalaman dan global.

"Kami akan terus memberi tumpuan terhadap usaha penambahbaikan dan pendigitalan selain mengenal pasti peluang untuk membina perniagaan yang kukuh dan mampan menerusi pelaburan berterusan dalam perbelanjaan modal dan jenama," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X