Isnin, 2 November 2020 | 2:31pm
Platform digital pertama di ASEAN untuk perkhidmatan perubatan, airasia Health
Platform digital pertama di ASEAN untuk perkhidmatan perubatan, airasia Health

airasia Health sedia platform perubatan digital

KUALA LUMPUR: airasia.com melancarkan airasia Health, platform digital pertama di ASEAN untuk perkhidmatan perubatan secara menyeluruh.

Sebagai permulaan, airasia Health menawarkan tempahan untuk ujian RT-PCR COVID-19 bermula daripada RM260, yang disediakan oleh rakan perubatannya Lifecare Diagnostic Medical Centre dan Sunway Medical Centre.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan, berkata airasia Health bekerjasama dengan penyedia perubatan dan hospital terkemuka, di samping menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti perundingan profesional, rawatan tempahan seperti pemeriksaan kesihatan, estetika, pemeriksaan kesejahteraan dan kesuburan.

Katanya, ia juga menawarkan perkhidmatan logistik merangkumi penerbangan, penginapan, perkhidmatan sokongan visa perubatan dan peneman pesakit, semuanya dalam satu platform.

"Penjagaan kesihatan adalah aspek penting untuk semua dan kami ingin membantu memudahkannya. Daripada rundingan awal hingga perkhidmatan pasca-rawatan, kami berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan yang lancar untuk semua melalui platform airasia Health.

"Bukan itu saja, airasia Health juga menawarkan perkhidmatan perjalanan yang disokong oleh ekosistem airasia.com merangkumi perkhidmatan logistik perjalanan seperti pilihan penerbangan, penginapan dan mobiliti, seterusnya memudahkan perjalanan pelancong perubatan," katanya dalam satu kenyataan.

Senarai rakan perubatan airasia Health termasuklah Alpha IVF & Women's Specialists, Beverly Wilshire Medical Centre, Sunway Medical Centre, Genesis IVF & Women's Specialist Centre, Sunway TCM Centre, Pure Touch Clinic dan banyak lagi.

Selain itu, airasia Health disokong oleh panel penasihat pakar industri seperti Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh; Pakar Perunding serta Pakar Ginekologi dan Kesuburan, Datuk Dr Colin Lee.

Berita Harian X