Ahad, 18 Oktober 2020 | 3:19pm

TNG Digital jana AS$150 juta perkukuh kedudukan

KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd, antara pengendali aplikasi e-dompet popular Malaysia, menjana sehingga AS$150 juta (RM620 juta) daripada pelabur untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembayaran digital, menurut individu yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Ia telah memulakan proses untuk menjana antara AS$120 juta hingga AS$150 juta, kata individu berkenaan yang enggan dinamakan kerana maklumat itu adalah sulit.

Syarikat itu adalah usaha sama antara firma China, Ant Group dan Touch 'n Go Sdn Bhd, yang disokong oleh CIMB Group Holdings Bhd.

Wakil TNG Digital tidak bersedia memberikan kenyataan.

Persaingan dalam industri e-dompet semakin memuncak di Asia Tenggara dengan gergasi teknologi serantau memanfaatkan aplikasi pembayaran masing-masing untuk berkembang dalam pasaran perkhidmatan kewangan digital.

E-dompet TNG Digital Sdn Bhd
E-dompet TNG Digital Sdn Bhd

Bank pusat Malaysia setakat ini telah mengeluarkan 48 lesen e-wang bukan bank untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai.

Perkembangan itu menyebabkan persaingan sengit dalam kalangan peserta e-dompet.

Pesaing TNG Digital di Malaysia termasuklah Grabpay yang dimiliki Grab Holdings Inc, Boost milik Axiata Digital Services Sdn Bhd dan BigPay milik AirAsia Group Bhd.

Touch 'n Go adalah satu nama besar di Malaysia untuk tempoh lebih sedekad, dengan monopoli pembayaran transit termasuk tol lebih raya, lot parkir serta pengangkutan awam.

Rakyat Malaysia menggunakan kad prabayar Touch 'n Go untuk membayar bas dan tren, sama seperti kad EZ-Link di Singapura dan kad Octopus di Hong Kong.

Pandemik COVID-19 mempercepatkan pelaksanaan pembayaran digital.

Populariti e-dompet melonjak tahun ini, dengan 22 peratus pengguna yang dikaji oleh Facebook Inc serta Bain & Co berkata, ia adalah kaedah digemari mereka untuk membuat pembayaran, berbanding hanya 14 peratus pada 2019.

-Bloomberg

Berita Harian X