Khamis, 8 Oktober 2020 | 11:24am
Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan (depan, empat dari kanan) dan kakitangan bersama identiti baharu airasia.com - Foto ihsan AirAsia
Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan (depan, empat dari kanan) dan kakitangan bersama identiti baharu airasia.com - Foto ihsan AirAsia

airasia.com tampil dengan identiti baharu

SEPANG: airasia.com memperkenalkan identiti baharunya sebagai satu aplikasi super ASEAN, sekali gus melengkapkan transformasi kumpulan AirAsia ke arah perniagaan digital.

Aplikasi super airasia.com memberi perkhidmatan yang lebih mudah, pantas dan lancar untuk mengakses lebih daripada 15 jenis produk dan perkhidmatan di bawah tiga kategori utamanya iaitu perjalanan, e-dagang serta teknologi kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata AirAsia adalah syarikat untuk semua dan telah merevolusikan industri penerbangan.

Beliau berkata, kumpulan berbangga menjadi peneraju dalam menghubungkan rantau ini, menawarkan nilai, kemudahan dan keterangkuman untuk semua.

Katanya, airasia.com bukan sahaja menawarkan penerbangan, malah penginapan, beli-belah, makanan, dan banyak lagi semuanya dalam satu aplikasi super.

"Kumpulan tidak mempersia-siakan krisis yang berlaku ketika ini, sebaliknya mencari peluang untuk menaik taraf platform, pengalaman pengguna dan kemudahan pembayaran dengan satu klik sahaja.

"Pengembangan perniagaan digital juga membolehkan kami menawarkan pelbagai produk di airasia.com daripada penerbangan hingga gaya hidup.

"Seperti AirAsia, airasia.com akan menjadi jenama aplikasi super ASEAN terbaik untuk melengkapi perjalanan anda," katanya dalam satu kenyataan.

Sempena pembaharuan itu, airasia.com mengadakan jualan airasia.com Super Sale yang pertama untuk menggantikan jualan Tempat Duduk Percuma AirAsia yang berlangsung sebelum ini.

Jualan terbesar ASEAN itu akan bermula 12 Oktober hingga 18 Oktober 2020 dengan diskaun sehingga 90 peratus bagi semua kategori produk di aplikasi super serta laman web airasia.com.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan, berkata pelancaran aplikasi super airasia.com adalah bukti inovasi berterusan untuk memberikan nilai terbaik kepada pelanggan.

Beliau berkata, dalam era baharu pasca COVID-19 ini, kumpulan memahami keperluan fleksibiliti perjalanan, justeru melancarkan Pas Tanpa Had AirAsia dengan menawarkan pas penerbangan yang boleh ditebus.

Berita Harian X