Khamis, 1 Oktober 2020 | 1:49pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Bhd (PDB), Azrul Osman Rani (kiri) bersama Ketua Bahagian Runcit PDB, Khalil Muri ketika melancarkan konsep Makan@Mesra di di stesen PETRONAS Taman Setiawangsa di Kuala Lumpur, hari ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Bhd (PDB), Azrul Osman Rani (kiri) bersama Ketua Bahagian Runcit PDB, Khalil Muri ketika melancarkan konsep Makan@Mesra di di stesen PETRONAS Taman Setiawangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Makan@Mesra di 200 Kedai Mesra tahun hadapan

KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) menyasarkan untuk memperkenalkan Makan@Mesra menerusi Kedai Mesra di 200 stesen minyak menjelang akhir tahun hadapan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani, berkata Makan@Mesra yang menjadi konsep sudut makanan di Kedai Mesra adalah pembaharuan yang ditampilkan PDB untuk mengembangkan perniagaan bukan berasaskan bahan api.

"Setakat ini, kami mempunyai tujuh stesen yang menawarkan konsep baharu ini dan mensasarkan 15 lagi stesen menjelang akhir tahun ini.

"Sebagai permulaan PDB akan meneroka potensi stesen PETRONAS di sekitar Lembah Klang sebelum beralih kepada bandar utama di seluruh negara," katanya kepada media selepas majlis perasmian konsep Makan@Mesra di stesen PETRONAS Taman Setiawangsa di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Runcit PDB, Khalil Muri.

Azrul berkata, PDB juga akan meninjau potensi pembukaan Makan@Mesra di stesen minyak di kawasan luar bandar berdasarkan prestasi yang ditunjukkan stesen sudah sudah menerapkan konsep itu.

"Ia bergantung pada sambutan. Namun, kami menjangkakan konsep ini akan berjaya seperti mana Mornings@Mesra yang diketengahkan PDB pada 2018," katanya.

Sementara itu, Makan@Mesra adalah satu sudut makanan baharu dalam Kedai Mesra yang telah diubah suai khusus untuk menawarkan sajian premium yang segar, seimbang dan mudah, dengan kebanyakan barangan berharga di bawah RM12.

Konsep baharu itu adalah untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di Kedai Mesra menerusi peluasan produk dan perkhidmatan, termasuk pengubahsuaian rangkaian Kedai Mesra.

"Sebagai tempat untuk mendapatkan makanan berkonsep "grab-and-go", Kedai Mesra kini menawarkan rangkaian makanan dan minuman yang lebih luas termasuk pastri segar yang baru dibakar, sajian "to-go" yang disediakan setiap hari, pencuci mulut dan air melalui Makan@Mesra.

"Selain itu, Kedai Mesra yang diperbaharui kini menawarkan pendingin, mesin kopi dan ketuhar gelombang mikro untuk kemudahan pelanggan.

"Bahagian dalam Kedai Mesra juga telah diubah suai bagi membangkitkan suasana yang selesa dan mesra sebagai sebahagian daripada usaha PDB dalam merancang pengalaman pelanggan yang holistik merangkumi perjalanan pelanggan, suasana dan penawaran," tambah Azrul.

Beliau menjelaskan, PDB mencuba konsep Makan@Mesra untuk pertama kali di stesen PETRONAS Jalan Kolam Ayer Lama di Ampang tahun lalu dan melihat peningkatan permintaan untuk makanan "on-the-go".

"Berdasarkan kejayaan ini, kami yakin konsep ini dapat diperluaskan agar pelanggan dapat menikmati pengalaman runcit terbaharu di stesen kami," katanya.

Makan@Mesra boleh didapati di PETRONAS Jalan Kolam Ayer, PETRONAS MRR2 Ampang, PETRONAS Cyberjaya 1, PETRONAS Mutiara Damansara, PETRONAS Kota Kemuning, PETRONAS Kota Damansara dan PETRONAS Taman Setiawangsa.

Berita Harian X