Selasa, 29 September 2020 | 6:34pm
Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga, kanan) pada majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran Francais Santan di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA
Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga, kanan) pada majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran Francais Santan di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

Santan sasar buka 100 cawangan menjelang 2022

KUALA LUMPUR: Syarikat makanan dan minuman (F&B), Santan menyasar untuk membuka 100 rangkaian cawangan menjelang suku pertama 2022 menerusi francais, berbanding hanya 15 cawangan ketika ini.

Jenama menu dalam penerbangan AirAsia itu sudah memperoleh sijil pendaftaran francais rasmi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengurus Besarnya, Catherine Goh, berkata Santan disasarkan bakal menjadi jenama makanan utama di Malaysia dan antarabangsa dalam tempoh beberapa tahun akan datang, berdasarkan kepada pelbagai langkah yang dilaksanakan bagi meningkatkan sumbangan pendapatan syarikat itu kepada kumpulan AirAsia.

"Tumpuan utama adalah di Lembah Klang sebelum menembusi pasaran Pulau Pinang, Ipoh, Sabah dan Sarawak.

"Selain itu, jenama Santan turut akan berada di luar negara bermula di Shenzhen, China suku pertama 2021 dan beberapa kawasan lain di China sebelum memasuki pasaran United Kingdom, Indonesia dan Filipina," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil francais oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Sementara itu, Tony berkata Santan adalah salah satu cabang perniagaan AirAsia dalam usaha meningkatkan sumbangan perniagaan bukan penerbangan terutama ketika kumpulan berdepan dengan penurunan pendapatan.

Beliau berkata, Santan adalah perniagaan yang mempunyai potensi untuk berkembang dan jenama perniagaan ini akan mula memberikan pulangan sebanyak 10 hingga 15 peratus kepada kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mengenai perkembangan industri francais negara, Alexander berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan orang ramai untuk menjadi usahawan francais terutama golongan muda.

Beliau berkata, industri francais mempunyai potensi untuk berkembang dan menjadi salah satu sumber pendapatan baharu.

"Kerajaan sentiasa bersedia dan memikirkan pelbagai kaedah terbaik untuk meningkatkan usahawan francais. Kita juga tidak menolak kemungkinan pengecualian cukai francais, jika perlu," katanya.

Beliau berkata, kementerian berharap lebih ramai usahawan tempatan akan mengambil peluang francais yang bukan sahaja akan merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara, malah meningkatkan nilai hasil dagangan industri francais menjelang 2025.

Beliau berkata, perkembangan pesat Santan di Malaysia juga terus menyokong 'Kempen Beli Barangan Malaysia' yang bertujuan mempromosikan produk tempatan dan mengukuhkan ekonomi domestik dengan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia.

Berita Harian X