Isnin, 28 September 2020 | 7:11pm
UOA Corporate Tower di Bangsar South
UOA Corporate Tower di Bangsar South

UOA Reit beli UOA Corporate Tower RM700 juta

KUALA LUMPUR: UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) bercadang untuk membeli UOA Corporate Tower di Bangsar South di sini dengan nilai RM700 juta tunai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOA REIT berkata bangunan pejabat 38 tingkat dengan aras emper itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM718 juta dan cadangan pembelian itu sejajar dengan strategi pengambilalihan untuk membeli dan melabur dalam hartanah yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang pengagihan seunit dan/atau nilai aset bersih seunit.

"Strategi pengambilalihan termasuklah membeli hartanah yang terletak secara strategik serta mempunyai kadar penghunian yang tinggi dan pelbagai campuran penyewa," katanya.

UOA REIT berkata, untuk membiayai pembelian itu, ia merancang untuk meraih RM280 juta melalui tawaran saham persendirian pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian oleh Lembaga Pengarah.

UOA Corporate Tower dimiliki secara tidak langsung oleh UOA Development Bhd melalui Distinctive Acres Sdn Bhd.

-BERNAMA

Berita Harian X