Isnin, 21 September 2020 | 8:29pm
Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS - Foto Bloomberg
Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS - Foto Bloomberg

PETRONAS tinjau beli kepentingan anak syarikat Tata Power

NEW DELHI: Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS sedang meninjau untuk membeli kira-kira 10 peratus kepentingan dalam Tata Power Renewable Energy Ltd (TPREL), kata empat individu yang rapat dengan perkembangan itu.

Penjualan kepentingan minoriti dalam TPREL adalah tambahan kepada rancangan PETRONAS untuk melabur dalam dana pelaburan infrastuktur tenaga boleh diperbaharui (InvIT) Tata Power, demikian menurut sumber yang dipetik akhbar perniagaan India, MINT.

InvIT menguruskan aset infrastruktur yang menjana pendapatan, dengan kebiasaannya menawarkan pulangan berkala kepada pelabur dan kaedah yang cair untuk melabur dalam projek infrastruktur.

TPREL adalah anak syarikat The Tata Power Company Ltd dan syarikat pelaburan utama dalam sektor tenaga bersih.

Citibank diberikan mandat untuk mencari pelabur bagi InVIT, yang akan menempatkan projek tenaga boleh diperbaharui sehingga tiga gigawatt (GW).

Jurucakap Citibank enggan memberikan kenyataan, manakala pertanyaan menerusi e-mel kepada Tata Power dan PETRONAS tidak berjawab.

Potensi urus niaga itu muncul di tengah-tengah latar belakang firma utama minyak meninjau untuk melabur dalam ekonomi tenaga baharu di India ketika sektor hidrokarbon konvensional berdepan gangguan berkaitan teknologi dan pandemik.

PETRONAS membeli Amplus Energy Solutions Pvt. Ltd, salah satu pengeluar tenaga solar terbesar India pada April 2019, yang menandakan kemunculannya dalam sektor tenaga bersih global.

"Selain menawarkan 51 peratus kepentingan dalam InvIT, Tata Power juga terbuka untuk menjual kepentingan minoriti dalam Tata Power Renewable Energy Ltd, yang akan menyediakan akses kepada projek pembangunan," kata seorang sumber yang enggan dikenali.

-AGENSI

Berita Harian X