Isnin, 14 September 2020 | 5:03pm
Syarikat e-hailing, Grab Holdings Inc - Foto Bloomberg
Syarikat e-hailing, Grab Holdings Inc - Foto Bloomberg

Alibaba rancang labur RM12.45 bilion dalam Grab

TOKYO/SINGAPURA: Alibaba Group Holding Ltd sedang mengadakan perbincangan untuk melabur AS$3 bilion (RM12.45 bilion) dalam syarikat e-hailing, Grab Holdings Inc, demikian menurut individu yang rapat dengan perkara berkenaan.

Gergasi e-dagang China itu, satu-satunya pelabur dalam pusingan terbabit, akan membelanjakan sebahagian dana untuk memperoleh sebahagian daripada saham Grab yang dipegang oleh Uber Technologies Inc, kata salah seorang individu berkenaan yang meminta namanya dirahsiakan kerana perbincangan itu bukan untuk umum.

Perjanjian itu berkemungkinan menjadi salah satu perbelanjaan terbesar Alibaba di Asia Tenggara sejak pelaburan pertamanya di Lazada pada 2016.

Syarikat terbesar di China itu sebelum ini mempunyai penyertaan terhad dalam perkhidmatan e-hailing, namun potensi kerjasama dengan Grab memberikannya akses kepada berjuta-juta data pengguna di lapan negara, barisan penghantaran yang semakin meningkat di samping kepentingan dalam dompet digital dan perkhidmatan kewangan.

Pembiayaan itu, yang juga kira-kira satu perlima daripada penilaian terakhir Grab yang bernilai AS$14 bilion (RM58.06 bilion), dibuat di tengah-tengah persoalan yang semakin meningkat mengenai kemampuan syarikat itu untuk memenuhi nilainya yang tinggi ketika ia berdepan impak pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anthony Tan, berkata syarikat itu berdepan 'satu krisis terbesar', manakala Pengasas Bersama, Tan Hooi Ling pada Mei lalu memberi amaran mengenai 'musim sejuk yang panjang'.

Pelabur sedia Grab ada juga kecewa dengan apa yang mereka lihat sebagai persaingan merosakkan nilai dengan pesaing utamanya, Gojek.

Syarikat e-hailing terbesar di dunia selama bertahun-tahun saling bersaing di wilayah masing-masing sehingga menyebabkan kerugian kos yang besar, sebelum mereka bersetuju untuk keluar dari pasaran teras masing-masing.

Langkah persefahaman itu membolehkan Uber mendapatkan kepentingan dalam pesaingnya yang bernilai lebih dari AS$9 bilion (RM37.33 bilion), termasuk 23.2 peratus saham di Grab pada akhir 2018.

Di bawah syarat perjanjian yang dimeterai Uber untuk keluar dari Asia Tenggara, Grab perlu membayar lebih dari AS$2 bilion kepada syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu jika ia tidak disenaraikan pada pertengahan 2023.

SoftBank Group Corp, pelabur dalam semua syarikat e-hailing terbesar di dunia, menjadi pusat perbincangan terbabit.

Syarikat Jepun itu menggunakan kedudukannya sebagai pemegang saham utama untuk mendesak Uber supaya menjual kepentingannya dalam Grab, Didi Chuxing dari China dan Yandex dari Russia, kata individu berkenaan.

-Bloomberg

Berita Harian X