Sabtu, 5 September 2020 | 1:38pm
Pelantar minyak PETRONAS di Tangga Barat,Terengganu - Foto ihsan PETRONAS
Pelantar minyak PETRONAS di Tangga Barat,Terengganu - Foto ihsan PETRONAS

Prestasi PETRONAS dijangka pulih separuh kedua 2020

KUALA LUMPUR: Kerugian dicatatkan PETRONAS pada April hingga Jun yang membawa kepada penurunan pendapatan bagi separuh pertama 2020 sudah dijangka, seiring prestasi syarikat minyak dan gas global, kata penganalisis.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata di sebalik penurunan pendapatan itu, PETRONAS dijangka menunjukkan prestasi lebih baik dalam separuh kedua 2020 ini.

Beliau berkata, ini berdasarkan jangkaan harga minyak mentah yang berada pada paras AS$43 hingga AS$44 satu tong ketika ini dan dijangka kekal sehingga akhir tahun.

"Malahan, ada yang menjangka harga minyak akan semakin meningkat, terutama apabila lebih banyak negara mula membuka ekonomi susulan penurunan kes COVID-19, selain vaksin yang sudah mula diguna pakai di beberapa negara tertentu.

"Selain itu, prestasi keuntungan PTERONAS pada separuh pertama terjejas disebabkan rosot nilai aset yang sebenarnya tidak memberi kesan kepada aliran tunainya.

"Ini membolehkan PETRONAS meneruskan aktiviti perbelanjaan modal yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan pada separuh tahun kedua malahan sehingga 2021 dan seterusnya," katanya kepada BH.

Ahmed Razman berkata, penganalisis dan peserta industri juga menjangka harga minyak menjadi lebih tinggi lagi pada 2021, iaitu melebihi AS$50 setong.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, prestasi suku kedua PETRONAS lebih terkesan akibat pelaksanaan sekatan dan kawalan pergerakan yang meluas di peringkat global pada April hingga Mei lalu bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata, keadaan ini menyebabkan kemerosotan ketara permintaan terhadap penggunaan bahan api, sekali gus menjejaskan pendapatan syarikat penapisan minyak.

"Malah, prestasi ekonomi kebanyakan negara di dunia pada suku kedua 2020 juga merudum ke paras negatif.

"Kedudukan kewangan PETRONAS dijangka menunjukkan tanda pemulihan pada suku ketiga ini. Ekonomi global dijangka menunjukkan pemulihan positif pada suku ketiga, seterusnya meningkatkan penggunaan bahan api," katanya.

Mohd Yusof berkata, prestasi sektor perlombongan dan pemprosesan minyak mentah juga dijangka kembali stabil pada suku kedua 2021.

Katanya, jangkaan ini bersandarkan andaian penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan sektor penerbangan kembali beroperasi.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata PETRONAS akan kembali pulih pada separuh kedua berdasarkan beberapa jangkaan seperti peningkatan harga minyak mentah.

Beliau berkata, harga minyak mentah menunjukkan peningkatan dalam dua bulan ini dan dijangka berterusan berdasarkan lonjakan perdagangan dunia yang mula aktif terutama di China serta rantau Asia.

"Harga minyak mentah dijangka naik sekitar AS$50 ke AS$55 setong pada akhir 2020, malah pelaksanaan pemotongan kos dijalankan PETRONAS sejak akhir tahun lalu bagi menangani penurunan harga minyak ketika itu akan mula memberikan impak selepas ia dilaksanakan sepenuhnya.

"PETRONAS pastinya mengadakan persiapan sewajarnya sejak awal tahun ini lagi. Keseluruhan operasinya disesuaikan dengan penurunan harga minyak dunia.

"Selain itu, PETRONAS masih lagi mempunyai rizab aset mencukupi dan kukuh untuk mengharungi tempoh yang mencabar ini," katanya.

Berita Harian X