Selasa, 1 September 2020 | 7:12pm
CJ Wow Shop
CJ Wow Shop

CJ Wow Shop jadi milik penuh Media Prima

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) memperoleh baki saham dalam segmen membeli-belah di rumahnya, CJ Wow Shop, sekali gus membolehkannya memiliki sepenuhnya anak syarikat itu.

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu melalui Sistem Televisyen Malaysia Bhd (STMB), memperoleh 49 peratus kepentingan dalam MP CJ ENM Sdn Bhd (MP CJ ENM) daripada syarikat hiburan Korea Selatan, CJ ENM Co Ltd (CJ ENM).

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan transformasi kumpulan untuk memanfaatkan prospek kukuh industri membeli-belah dan e-dagang di rumah.

Pemerolehan ini juga menyokong rancangan Media Prima untuk mengembangkan segmen perdagangan dengan lebih meluas.

Rundingan jual beli antara Media Prima dan CJ ENM akan memastikan kelancaran peralihan operasi perniagaan CJ Wow Shop.

Semua pihak komited untuk memastikan peralihan yang lancar, di mana CJ ENM akan terus memberikan khidmat nasihat dan sokongan teknikal di bidang operasi yang terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MP CJ ENM, Yang Hyun Kim, berkata CJ Wow Shop menjadi jenama dagangan yang berjaya sejak ditubuhkan empat tahun lalu dan mempunyai penampilan yang kuat di platform penyiaran serta digital.

"Kami akan terus membina kejayaan CJ Wow Shop dengan kepakaran dan infrastruktur yang diperolehi serta melalui rangkaian perniagaan yang sudah berjaya.

"Kami juga akan terus memanfaatkan bakat tempatan yang dilatih untuk operasi penyiaran dan logistiknya," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata setelah membina jenama dan infrastruktur utama berada di kedudukannya, kumpulan mencapai objektif utama usaha sama terbabit.

"Kami yakin bahawa pengetahuan kritikal dan selok belok perniagaan telah dicapai sepenuhnya. CJ Wow Shop telah dan akan terus menjadi satu daripada segmen pertumbuhan utama bagi kumpulan.

"Berdasarkan prestasi pada tahun sebelumnya dan dalam beberapa bulan terakhir, kami yakin sepenuhnya akan potensi segmen ini," katanya.

Jangkauan penyiaran Media Prima yang besar, iaitu lebih daripada 35 peratus penguasaan pasaran jumlah penonton telah menjadi satu daripada pendorong utama kejayaan segmen membeli-belah di rumah kumpulan.

CJ Wow Shop juga memanfaatkan penyampaian menyeluruh dan kemampuan digital kumpulan untuk mencapai penonton sasaran dengan kandungan berpandukan data dan perancangan strategik waktu tayangan serta produk.

Melangkah ke hadapan, Iskandar Mizal berkata, Rangkaian Televisyen Media Prima akan meneruskan kerjasama dengan CJ ENM terutama sektor hiburan yang memfokuskan kepada pengeluaran kandungan.

Media Prima mengadakan usaha sama dengan CJ ENM pada Februari 2016 untuk memulakan syarikat membeli-belah di rumah, sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian kumpulan untuk memanfaatkan segmen perdagangan pengguna yang sedang berkembang.

Usaha sama itu membolehkan Media Prima memanfaatkan kepakaran syarikat gergasi membeli-belah di rumah Korea Selatan untuk membina infrastruktur yang diperlukan untuk beroperasi melalui syarikat media terkemuka di Malaysia.

Sejak mula beroperasi, pangkalan pelanggan CJ Wow Shop telah berkembang pesat, mencatat lebih daripada dua juta pelanggan berdaftar dalam masa empat tahun.

Berita Harian X