Jumaat, 21 Ogos 2020 | 5:34pm
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan.

Platform AirAsia.com beri sumbangan positif kepada AirAsia

SEPANG: AirAsia.com mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan disokong kepelbagaian produk dan inovasi digital meskipun keadaan operasi semasa kian mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Karen Chan, berkata sebagai platform perjalanan dan gaya hidup yang berkembang paling pesat di ASEAN, AirAsia.com dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat penerbangan dan perkhidmatan tambahan secara beransur-ansur, sebelum kembali stabil.

Beliau berkata, dalam realiti baharu ini, keutamaan AirAsia.com adalah untuk mengekalkan pertumbuhan dalam ekonomi yang semakin mencabar.

Katanya, sebagai pemain industri yang inovatif, ia melihat krisis sebagai peluang untuk berkembang dalam industri ini.

"Ini kerana pendapatan syarikat bukan penerbangan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan dan keutamaan perniagaan kami.

"Di masa hadapan, kami menjangkakan pendapatan syarikat bukan penerbangan akan mengatasi prestasi syarikat penerbangan. Justeru, kami menumpukan kepada produk inovatif yang merangkumi perjalanan, gaya hidup, e-dagang dan media, dalam segmen untuk perniagaan (B2B) dan untuk pelanggan (B2C)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini

Chan berkata, AirAsia.com akan terus menawarkan perjalanan berpatutan untuk semua, selain melaksanakan langkah berinovasi dengan produk yang lebih menarik, memanfaatkan ekosistem pelancongan sehenti dan memberi tumpuan kepada bahagian perniagaan yang paling relevan dalam keadaan pasaran semasa.

"Pada masa yang sama, kami akan terus memainkan peranan untuk membantu komuniti setempat, seperti kempen Save Our Shops yang membantu hampir 2,000 peniaga bebas kecil untuk menggunakan platform e-dagang kami.

"Fokus untuk AirAsia.com pada masa ini adalah untuk mempromosikan perjalanan domestik sementara sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan dibuka semula.

"Memandangkan kedudukan pasaran AirAsia yang dominan (lebih daripada 73 peratus bahagian pasaran dalam kapasiti di Malaysia), kami menggunakan kekuatan kami untuk merangsang perjalanan udara domestik mengikut permintaan," katanya.," katanya.

Beliau berkata, AirAsia akan menawarkan kadar tambang kapasiti dan permintaan berikutan pengurangan kapasiti dan peningkatan persaingan.

"Seperti yang kita tahu, industri penerbangan adalah salah satu industri yang paling terkesan, justeru rasionalisasi tambang adalah langkah yang wajar diambil.

"Berikutan norma baharu, kami harus menyusun semula keutamaan perniagaan kami kepada perjalanan domestik untuk jangka pendek," katanya.

Karen menjelaskan, berdasarkan tinjauan pasaran yang dilaksanakan baru-baru ini, hampir 45 peratus pelancong ingin melakukan perjalanan dengan segera selepas perjalanan domestik dibenarkan.

Katanya, promosi perjalanan domestiknya mendapat sambutan yang sangat baik apabila menjual lebih daripada satu juta tempat duduk di seluruh kumpulan pada Julai.

"Kami akan terus meningkatkan kapasiti. Melihat kepada sekatan yang mula dibuka, kami berharap dapat mencapai faktor muatan 70 hingga 80 peratus menjelang suku tahun ketiga.

"Carian penerbangan di laman web kami juga telah meningkat lebih daripada 150 peratus selepas tempoh hibernasi dan pada Jun 2020, seramai sejuta pengguna aktif melawat laman AirAsia.com pada setiap hari.

"Berikutan penerimaan yang positif terhadap produk pelancongan domestik kami, kami menjangka permintaan akan meningkat untuk perjalanan antarabangsa jika sekatan perjalanan dibuka," katanya.

Beliau berkata, AirAsia.com juga berharap dengan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi, ia akan kembali menghubungkan ekonomi ASEAN yang saling berkaitan.

"Sektor pelancongan yang secara kolektif mewakili 15 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari lima negara terbesar ASEAN dapat dihubungkan semula dengan pembukaan sempadan negara tidak lama lagi. Kami tidak sabar untuk terbang lebih jauh," katanya.

ASEAN adalah rantau utama bagi AirAsia, di mana ia menghubungkan lebih 640 juta orang ke 160 destinasi di seluruh Asia Pasifik.

Berita Harian X