Jumaat, 14 Ogos 2020 | 7:55pm
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia - Foto Bloomberg
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia - Foto Bloomberg

AirAsia sedia khidmat pelancongan perubatan

SEPANG: AirAsia akan memainkan peranan lebih besar dalam sektor pelancongan perubatan dengan menyediakan perkhidmatan sewa penerbangan kepada pesakit dan pelancong perubatan dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan serta penjagaan kesihatan di negara ini.

Syarikat penerbangan itu hari ini menyambut penerbangan sewa perubatan antarabangsa pertama dari Medan, Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Perkhidmatan sewa perubatan itu akan diperluaskan ke beberapa bandar lain di Indonesia dan tidak lama lagi dibangunkan menjadi tawaran perkhidmatan di bawah platform AirAsia.com.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan, berkata AirAsia komited untuk menghubungkan orang ramai kepada keperluan kritikal masing-masing, di tengah-tengah sekatan perjalanan dalam tempoh mencabar ini.

"Saya memuji pasukan AirAsia Health kerana memudahcara penerbangan sewa perubatan dari Medan ke Pulau Pinang ini.

"Penerbangan sewa perubatan berikutnya adalah dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Chan berkata, terdapat masa yang sukar bagi keluarga yang mempunyai pesakit kronik memerlukan rawatan perubatan secara khusus.

Justeru, katanya AirAsia bekerjasama rapat dengan institsui perubatan dan pihak berkuasa bagi memastikan pesakit melalui perjalanan mudah dari Indonesia ke Malaysia.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan strategik seperti Island Hospital di Indonesia, selain sokongan penuh Malaysia Healthcare Travel.

"Indonesia adalah negara yang mempunyai kedatangan pelancong kesihatan paling tinggi ke Malaysia. AirAsia Health akan melancarkan platform kesihatan dalam talian di AirAsia.com dalam masa yang terdekat ini," katanya.

AirAsia.com adalah super aplikasi paling pantas berkembang di ASEAN yang menawarkan perjalanan pengguna dan produk gaya hidup di bawah satu platform.

Berita Harian X