Khamis, 13 Ogos 2020 | 8:52pm
Datuk Noorazman Abd Aziz
Datuk Noorazman Abd Aziz

Noorazman dilantik pengerusi baharu UEM Sunrise

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd melantik Datuk Noorazman Abd Aziz sebagai pengerusi baharunya, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata, beliau menggantikan Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa yang bersara pada Julai selepas memegang jawatan itu sejak Mei 2017.

UEM Sunrise berkata, Noorazman, 64, menganggotai Lembaga Pengarah syarikat sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif sejak Oktober 2018.

Beliau mempunyai pengalaman selama lebih 37 tahun dalam perbankan dan kewangan, pelaburan dan pasaran modal, pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif (Pelaburan) di Khazanah Nasional Bhd dan Pengarah Urusan Fajr Capital Ltd, syarikat penerima pelaburan Khazanah.

"Beliau turut memegang jawatan penting antaranya di Citigroup, Bank Islam Malaysia Bhd, Bursa Saham Kuala Lumpur dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA)," menurut pemaju hartanah itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata pelantikan Noorazman tepat pada masanya berikutan industri menghadapi cabaran yang besar daripada pelbagai faktor, termasuk ekonomi global yang tidak menentu dan pandemik COVID-19. - BERNAMA

Berita Harian X