Khamis, 6 Ogos 2020 | 10:13pm
Ho Wah Genting Bhd HWGB akan mendapat hak eksklusif bagi pengeluaran, pengedaran dan penjualan penggunaan semula vaksin
Ho Wah Genting Bhd HWGB akan mendapat hak eksklusif bagi pengeluaran, pengedaran dan penjualan penggunaan semula vaksin

Ho Wah Genting sasar jadi syarikat pertama tawar vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Ho Wah Genting Bhd (HWGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, HWGB Biotech Sdn Bhd (HWGB Biotech), memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) firma berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), E-MO Biology Inc (EBI) bagi menjalankan penyelidikan permohonan paten berkaitan COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, HWGB berkata pada 15 Jun lalu, EBI telah mengemukakan permohonan Percubaan Awal Ubat Baharu (IND) kepada Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Ia bagi menjalankan ujian klinikal fasa IV membabitkan cadangan penggunaan vaksin virus poliomyelitis sedia ada (vaksin polio) untuk mengelak COVID-19 yang kini dalam proses diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif HWGB, Datuk Lim Ooi Hong, berkata cadangan kerjasama itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan HWGB apabila vaksin itu dikomersialkan kelak.

"Cadangan kerjasama itu menyaksikan HWGB melabur ASD$1 juta (RM4.18 juta) ke dalam EBI, sekali gus membolehkannya meraih 40 peratus daripada jumlah keuntungan daripada pengkomersialan vaksin berkenaan.

"HWGB juga akan mendapat hak eksklusif bagi pengeluaran, pengedaran dan penjualan penggunaan semula vaksin berdasarkan vaksin polio bagi mengelak jangkitan COVID-19 di negara-negara Asia Tengara," katanya.

Selain itu, HWGB juga mempunyai hak terhadap keuntungan vaksin selain lesen bebas royalti berserta pemberian sublesen bagi penggunaan tanda dagangan dan hak harta intelek lain berkaitan vaksin itu di negara-negara Asia Tenggara.

Sementara itu, Pengarah dan Pemegang Saham Tunggal EBI, Profesor Qiyi Xie berkata penyertaan HWGB Biotech itu akan memboleh syarikat itu menembusi negara-negara Asia Tenggara dalam masa terdekat ini apabila vaksin itu ditawarkan di pasaran.

-BERNAMA

Berita Harian X